Wednesday, August 26, 2009

Mencari dan terus mencari

Sejak akhir-akhir ini hati begitu resah melihat segala 'kerosakan' yang berlaku di dalam dan luar negara. Kisah-kisah kezaliman, pembunuhan, rosak akhlak dan segala macam lagi amat menyesakkan dada. Saya rasa saya tahu kenapa saya lebih peka sekarang. Anak-anak saya semakin membesar, bukan bayi lagi... saya perlu memberi kebebasan kepada mereka untuk belajar hidup bermasyarakat tapi hati runsing... terlalu banyak kisah-kisah yang tidak enak didengar. Anak-anak diculik hingga tidak dapat dijumpai sehingga kini, anak-anak remaja yang semakin rosak akhlaknya, zina, buang anak dan segala macam 'kerosakan' lagi... sungguh merungsingkan!

Bagaimana ini semua boleh berlaku sedangkan rata-rata segala 'kerosakan' yang dilakukan oleh mereka yang punya agama! Tidak kira agama Islam, Kristian, Buddha, Hindu, Sikh dan pelbagai lagi. Bukankah masing-masing percaya agama menyeru umatnya berbuat kebaikan dan menjauhi kejahatan? Tapi realiti kehidupan amat berbeza! Kenapa? Apa masalahnya? Sesungguhnya saya hanya ingin hidup dalam keadaan yang aman dan tenang dan diharapkan biarlah berpanjangan hingga ke generasi umat manusia yang seterusnya sehinggalah ke hari Kiamat.

Semakin banyak yang saya kaji semakin jelas rasanya apa yang saya cari-cari selama ini. 'Kerosakan' yang berlaku dan dilakukan oleh seseorang manusia bukanlah disebabkan oleh ajaran agama yang dibawanya itu tetapi disebabkan oleh pengikutnya yang tidak betul-betul mengamalkan sepenuhnya apa yang diajar dalam agamanya. Ada yang Islam tapi tidak yakin dengan apa yang diajar dalam agama itu. Saya baca Al-Quran dengan fasih sekali tapi saya tak ambil hirau untuk memahami makna-maknanya! Pelik kan? Padahal saya seorang Islam!

Al-Quran datangnya dari kalam Allah s.w.t sendiri dan Allah Maha Mengetahui kerana Dialah yang mencipta seluruh isi alam dan hukum-hukum alam serta cause and effect dari sesuatu larangan atau suruhanNya. Jika sesuatu cause itu dilarang tentulah kerana effectnya tidak baik dan begitulah sebaliknya. Cause = Api, jika tidak berhati-hati effect = Kebakaran, cause = larangan meminum minuman memabukkan, jika tidak, effect = berlaku pembunuhan di luar sedar, kemalangan dan sebagainya. Cause = larangan berduaan-duaan bukan sesama muhrim, jika tidak, effect = berlaku zina, mengandung anak luar nikah, malu lantas buang bayi yang tidak berdosa!

No comments: