Saturday, August 8, 2009

Cabaran Muslimah

Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,
Segala puji-pujian kita panjatkan ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana dengan limpah kurnia-Nya kita masih lagi menikmati kehidupan seiring dengan usaha menjunjung perintah dan menghindari larangan-Nya.

Sesungguhnya cabaran yang dihadapi oleh Muslim dan Muslimah di saat ini di mana Islam tidak dilaksanakan secara kaffah di dalam kehidupan, amatlah besar. Islam kini hanya dilaksanakan di dalam beberapa perkara yang terpilih sahaja seperti ibadah khusus, dalam hal makanan dan minuman (math’umat), pakaian (malbusat), undang-undang kekeluargaan (munakahat) dan juga pembahagian harta pusaka (fara’id). Selain dari hal-hal ini, sebahagian besar dari syariat Islam telah dipinggirkan dari kehidupan individu, masyarakat dan juga negara. Justeru, kita menyaksikan impak negatif yang timbul sejak sekian lama yakni lemahnya fikrah Islam dari dalam diri penganutnya termasuklah Muslimah. Kaum Hawa yang dianggap golongan yang lemah ini sering terjebak dalam gejala sosial dan terjerumus ke lembah maksiat. Episod luka yang penuh memilukan ini dapat kita saksikan saban hari melalui paparan kisah-kisah pergaulan tanpa batas, tidak menutup aurat, perzinaan, pelacuran, pembuangan bayi, pengguguran haram dan pelbagai bentuk maksiat lagi yang melibatkan kaum wanita.

Di sisi lain, Muslimah turut menjadi mangsa kekejaman sistem sekular yang kejam ini tanpa pembelaan yang sewajarnya dari pihak pemerintah. Sistem pemerintahan Kapitalis yang menghimpit membuatkan ramai dari kalangan mereka terpaksa berhempas-pulas bekerja dan sebahagiannya menjadi tulang punggung dan nadi ekonomi rumah tangga kerana pendapatan suami yang tidak dapat menampung, khususnya bagi mereka yang tinggal di bandar-bandar besar. Ada yang lebih memeritkan seperti golongan ibu tunggal yang tidak pernah diberi perhatian oleh pihak pemerintah.

Malangnya, sebahagian besar masyarakat termasuk golongan Muslimah sendiri tidak menyedari akar kepada semua masalah ini adalah kerana sistem sekular yang diterapkan di negara-negara umat Islam setelah jatuhnya Daulah Khilafah pada 28 Rejab 1342H, bersamaan 3hb Mac 1924M. Sejak itu, oleh sebab ajaran Islam telah dipisahkan dari kehidupan, maka natijahnya, taraf berfikir umat Islam menjadi semakin lemah. Ditambah dengan serangan pemikiran dari Barat yang mana sebahagiannya ditujukan kepada Muslimah, menambah parahkan lagi kecelaruan di dalam berfikir kaum Hawa ini. Virus-virus seperti hak asasi manusia, poligami, hak sama rata di antara lelaki dan perempuan, kebebasan berakidah, bertingkah laku, berpakaian dan sebagainya telah menjangkiti sebahagian besar Muslimah, menyebabkan jalan keluar yang mereka pilih adalah kaedah penyelesaian yang dibawa oleh Barat itu sendiri, yang dilihat dapat memuaskan akal mereka. Oleh itu, lahirlah pejuang-pejuang hak wanita yang memperjuangkan feminisme, kesetaraan gender, kebebasan dan sebagainya yang mengikut acuan yang telah dibuat oleh Barat sepenuhnya.

Sehubungan dengan ini, usaha untuk mengembalikan semula kesedaran dan kemuliaan di kalangan wanita sentiasa berhadapan dengan cabaran yang getir. Untuk mewujudkan kesedaran akan wajibnya kaum Muslimah kembali kepada hukum Allah dan Rasul bukanlah usaha yang mudah, kerana ramai di kalangan mereka yang sudah lama ‘mabuk’ dengan pesona kebebasan yang dibawa oleh kuffar Barat.

Walau bagaimanapun, usaha yang berterusan diikuti dengan doa kepada Allah Azza Wa Jalla, Insya Allah akan membuahkan hasil dalam mengembalikan semula kesedaran dan kemuliaan ini. Sesuai dengan kata-kata Khalifah Umar Al-Khattab r.a, “La Izzata Illa Bil Islam” (tiada kemuliaan tanpa Islam) yang bermaksud hanya dengan mengamalkan ajaran Islam sahajalah yang akan dapat membawa kemuliaan kepada umat ini, maka ruangan Muslimah ini diharap dapat memberi penjelasan dan kesedaran berkenaan masalah yang menimpa kaum Muslimah dan satu-satunya jalan penyelesaian yang wajib diambil adalah Islam.

Selain dari usaha di atas, ruangan ini juga berusaha untuk menimbulkan kesedaran bahawa hukum dan perintah Allah dalam mengembalikan kehidupan Islam dengan jalan menegakkan semula Daulah Khilafah turut terbeban di atas bahu kaum Muslimah dan bukan hanya kewajipan kaum Adam semata-mata. Firman Allah,
“Dan orang-orang yang beriman lelaki dan wanita, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya” [TMQ at-Taubah (9):71]

Akhir sekali, ruangan ini diharapkan dapat memberikan pencerahan dan menyuntik semangat di kalangan Muslimah khususnya, bahawa tangan yang menghayun buaian ini mampu merubah dunia melalui aktiviti dakwah dan pelaksanaan amar makruf nahi mungkar sehingga Islam benar-benar menjadi rahmatan lil ‘alaamin.

Sumber: www.mykhilafah.com/muslimah

No comments: