Sunday, August 9, 2009

Kasih ibu

Meraikan “Hari Ibu” pada tanggal 10 Mei setiap tahun adalah sebagai penghormatan dan tanda kasih sayang kepada insan yang bergelar ibu. Meraikan dengan memberi hadiah, mengirim kad ucapan atau makan bersama. Namun diharap ia tidak disalahertikan. Kerana Islam mengajar bahawa penghormatan dan melahirkan kasih sayang mahu pun ucapan terima kasih kepada ibu, tidak sepatutnya bermusim atau pada hari tertentu sahaja.

Untuk menzahirkan penghargaan terhadap jasa baktinya, ibu patut dihormati dan diraikan pada setiap masa. Malahan ia adalah satu keutamaan. Kasih sayang dan pengorbanannya memang tidak mampu kita balas. Bahagiakanlah hati mereka selalu. Elakkan mereka bersedih menitiskan air mata kerana kesal kecewa terhadap kita. Syurga di bawah telapak kaki ibu…

Banyak firman Allah di dalam al-Quran dan hadis sabdaan Rasulullah saw yang menyentuh tentang kewajipan mentaati dan berbuat baik kepada ibu bapa. Panjatkan doa kudus buat ibu…

“Ya Allah… ampuni dosa-dosaku dan dosa kedua ibu bapaku, dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihaniku ketika kecilku…” Amin.

Ketika amal-amalnya terputus setelah kematiannya, doa anak-anak yang soleh adalah satu daripada tiga perkara yang menjadi amal berterusan. Betapa Allah amat menghargai hambanya yang bernama ibu bapa ini!

Inilah jual beli dengan Allah. Para ibu menjual masa rehatnya, mengerah tenaga, memberikan masa, pengorbanan dan seluruh jiwa raganya untuk anak-anak. Allah membayarnya dengan syurga.

Menghadapi suasana rumah yang bersepah, lantai yang meminta dimop, kain baju yang perlu dilipat, tersengguk lantas tertidur di kala menyusukan si kecil merupakan perkara biasa dalam hidup seorang ibu.

Seribu satu macam perkara yang perlu dilakukan secara rutin dan berulang hari ke hari. Inilah asam garam kehidupan para ibu. Syabas kepada para ibu yang menerima tugasan ini dengan dada terbuka, terus gagah untuk bangkit sebagai ibu mithali.

Di sana ada ibu yang dianugerahkan anak-anak yang ramai. Ada yang hanya seorang dua. Ada juga ibu yang tidak mendapat bahagian. Apa pun situasinya segala yang Allah kurniakan itu mempuyai hikmahnya tersendiri, selain ia adalah adalah ujian dan cabaran. Walau di mana situasi pun anda berada, redha Allah juga yang dicari.

Jika kita lihat dari dimensi yang lain dalam sistem kekeluargaan, lain pula perkara yang kita saksikan. Fenomena anak-anak yang menderhaka kepada ibu bapa amat membimbangkan. Ibu bapa bukan tempat mereka mengadu ketika masalah melanda. Rumah hanya sebagai tempat penginapan, manakala ibu dan bapa sebagai pengurus sahaja.

Berita yang kurang enak saban hari terpapar di dada-dada akhbar yang mengisahkan gelagat anak–anak, seperti lari dari rumah, berperangai samseng, buli-membuli, ponteng sekolah, merokok, merempit dan sebagainya. Apakah yang perlu para ibu lakukan dalam mendepani suasana ini?

Minda ibu mesti lebih aktif daripada mereka. Sila kenal pasti punca masalah mereka. Apakah anak-anak kurang bimbingan? Tandus kasih sayang? Ibu bapa gagal mengenal pasti kecenderungan, potensi dan kebolehan anak dari awal? Atau kerana komunikasi yang lemah? Atau apa-apa sistem teknikal yang tidak berkualiti dan terkini? Atau apakah anak- anak memang dari awal telah diberi pelbagai kebebasan, bebas memilih apa saja yang mereka suka, bebas membuat keputusan, bebas sebebasnya?

Di samping curahan kasih sayang dengan dos yang sesuai, ibu perlu menyediakan biah solehah (persekitaran yang baik) untuk anak-anak membesar dan menimba pengalaman. Membuat pilihan sekolah yang sesuai. Mencadangkan aktiviti-aktiviti yang berfaedah dalam mereka meniti dewasa dan memanfaatkan masa lapang. Memantau kawan-kawan mereka.

Sistem pembelajaran sekolah yang berorentasikan peperiksaan dan skor A telah menjadikan anak-anak kita hebat dari segi IQ, tetapi lemah dari segi EQ. Mereka kekok untuk bergaul dan bersosial dengan masyarakat sekeliling. Selalu bersikap tak kisah dan kurang rasa tanggung jawab.

Amat menyedihkan jika anak-anak diserahkan bulat-bulat kepada guru sekolah dan guru tuisyen semata-mata. Ini adalah kerana ibu terlalu berharap untuk anak-anaknya mencapai sebanyak mungkin ‘A’ dalam peperiksaan. Ibu bapa hanya menyediakan makan, pakaian dan tempat tinggal. Sedangkan jiwanya kosong, terabai…

Setiap anak mempunyai sifat dan pembawaan mereka yang tersendiri. Setiap peringkat umur anak ada masaalah dan kelebihannya yang tersendiri. Seharusnya para ibu tidak terlepas pandang, bertangguh atau mangambil mudah sahaja. Walaupun mereka telah dewasa, berada di pusat-pusat pengajian tinggi di dalam atau luar negara, pimpinlah mereka..!

Para ibu mesti punya wawasan. Berusaha mencorakkan anak-anak dengan corak yang terbaik. Bersifat bertanggung jawab, tidak menyalahkan pihak lain jika berlaku sesuatu. Kerana budaya bangau oh bangau hanya akan merugikan kita. Anak-anak tidak sepatutnya membayar kesilapan dan kecuaian orang tua mereka dengan harga yang mahal di kemudian hari.

Satu kesilapan jika ibu-ibu di zaman milenium ini menganggap menguruskan rumah tangga dan anak-anak hanyalah tugas tradisi. Menganggap ia adalah kemahiran yang akan diperolehi secara automatik apabila berumah tangga.

Jernih di hulu jernihlah di hilir. Persediaan dari sudut rohani, ilmu keibubapaan mahupun ilmu kekeluargaan mesti dibuat sebelum masuk ke gerbang perkahwinan. Di samping tidak menafikan persediaan dari sudut fizikal dan material. Masih ramai pasangan yang tidak memahami falsafah perkahwinan itu sendiri. Tambahan pula jika mereka berkahwin itu hanya atas dasar cinta atau nafsu semata. Lebih parah jika sebelumnya telah sanggup melahirkan anak tanpa nikah. Membuang bayi bagaikan sampah. Taraf yang lebih rendah dari binatang.

Manakah ibu yang akan menggoncangkan dunia dengan tangannya itu? Atau apakah sebaliknya dunia yang akan menggoyang dan menghayun jiwa si ibu ? Kita tidak mahu para ibu yang diharapkan membentuk generasi hadapan kecundang sejak di awal langkahnya..

Siapakah pula yang patut tampil untuk memberi kesedaran kepada wanita-wanita tiang negara itu? Tak kira yang sudah bergelar ibu atau yang masih remaja dan belia, mereka adalah antara penentu jatuh bangunnya generasi akan datang. Mereka juga perlu dipimpin tangannya.

Ramai di kalangan mereka sebenarnya sedang lemas dan hanyut, tidak sedar maruah mereka dipermainkan, mereka dieksploitasi seperti barang dagangan untuk memenuhi agenda pihak tertentu. Ada juga yang seolah-olah terpukau mengikut sahaja tanpa berfikir. Tak kurang yang sudah berpuas hati dengan apa yang mereka capai walau tak seberapa.

Ini belum termasuk ramai ibu yang gagal dalam rumah tangga, cedera emosi, hilang semangat akibat perbuatan para lelaki yang tidak bertanggung jawab atau kesilapan diri sendiri. Ibu tunggal yang bertungkus-lumus untuk meneruskan hidup tanpa suami, melayani kerenah anak-anak yang telah menjadi yatim. Ya… ibu yang pelbagai kategori dan beraneka latar belakang… sedangkan Allah telah menciptakan manusia itu ada kelebihan yang tersendiri.

Sesungguhnya dakwah Islam yang indah itu mesti disampaikan kepada mereka. Islam ada penyelesaian untuk mereka. Biarlah segala keputusan dan penilaian ditimbang menurut neraca iman, Islam dan ihsan.

Agar mereka berpeluang merasakan manisnya iman. Menghidu wanginya seerah para sahabiah contoh wanita-wanita muslimah.

Membawa mereka kepada hidayah dan keredhaan Allah Yang Maha Agung. Agar mereka dapat menyumbang kepada tamadun Islam yang gemilang. Ibu oh ibu…

Ustazah Norlida bt Kamarudin,
Naib Ketua Wanita
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Sumber: wanitaisma.wordpress.com/2009/05/13/ibu-oh-ibu/

No comments: