Saturday, August 8, 2009

Iktibar dari Bumi Palestin



26 Disember 2008 yang lalu… Penduduk Palestin telah dizalimi lagi untuk kesekian kalinya. Kekejaman yang dilakukan oleh LAKNATULLAH REGIM ZIONIS ke atas penduduk Palestin kali ini entah kenapa telah benar-benar mencetus rasa kepedulian yang amat tinggi dalam diri ini ke atas nasib yang menimpa penduduk Palestin. Masakan tidak... Melihat wajah anak-anak comel yang menahan kesakitan dan tubuh-tubuh kecil yang terbujur kaku amat meremukkan jiwa keibuan diri ini. Wajah-wajah mereka bersilih ganti dengan wajah-wajah permata hati kesayangan diri ini. Tidak betah rasanya untuk sekadar melihat sahaja apa yang berlaku... sesuatu perlu dilakukan!





Maka bermulalah satu usaha kecil yang tak seberapa... pencarian sebanyak mungkin maklumat mengenai asal-usul konflik di Palestin dan punca permasalahannya telah menemukan diri ini dengan suatu cetusan kesedaran yang amat tidak ternilai harganya!

Iktibar 1
Betapa rupa-rupanya Al-Quran itu telahpun memberi petunjuk-petunjuk hidup yang amat jelas bagi manusia menempuh kehidupan yang serba misteri ini... Faham benarlah diri ini sekarang dari mana datangnya kesabaran, keteguhan pendirian dan jati diri penduduk Palestin walau dihentam sedemikian rupa...

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Surah Al-Ankabut, ayat 2-3)

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 139)

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu’min diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka…” (Surah At-Taubah, ayat 111)

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).” (Surah Ali ‘Imran, ayat 200)

“Sesungguhnya Kami akan menimpakan cubaan ke atas kalian dengan sedikit ketakutan, kelaparan serta kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang jika ditimpa musibah, mereka mengucapkan, “Innâ lillâhi wa innâ ilaihi râji‘ûn.” (Surah al-Baqarah [2]: 155- 156).

Iktibar 2
Betapa dengan runtuhnya sistem kekhalifahan yang mentadbir kehidupan manusia berlandaskan Al-Quran dan Sunnah yang diusahakan pihak musuh itu telah berjaya melemahkan kesatuan umat Islam seluruh dunia. Jika dahulu umat Islam bersatupadu dan saling membantu di bawah bendera Khalifah Islam tapi kini umat Islam dipecah belahkan melalui pelbagai ideologi-ideologi buatan manusia.

”Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar.” (Surah Al-Anfaal: 73)

Inilah kesannya...





Setelah itu maka bermulalah era ”Kau jaga negara/negeri/keluarga/diri kau dan aku jaga negara/negeri/keluarga/diri aku sendiri! Jangan masuk campur! Jaga tepi kain sendiri, jangan jaga tepi kain orang!” Strategi CONQUER AND DIVIDE mereka nampaknya berkesan!!!





Penerapan ideologi ciptaan manusia bongkak yang tidak mahu menerima sistem nilai kehidupan yang telah ditentukan oleh Pencipta diri mereka telah berjaya menyusup ke dalam minda-minda manusia yang leka!

Faham benarlah kini kenapa pihak musuh berusaha benar meruntuhkan SISTEM KHALIFAH dan melalaikan manusia dari mendekati dan mendalami Al-Quran... Kerana ajaran di dalam Al-Quran tidak memenuhi kehendak mereka yang inginkan kekuasaan dan tamakkan keduniaan sedangkan sistem nilai kehidupan yang telah diajar di dalam Al-Quran menegah manusia dari melakukan kerosakan di muka bumi ini malah lebih mendorong manusia ke arah membuat kebaikan dan menikmati kesejahteraan dan kemakmuran hidup...

”Dan apabila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan.” (Surah Al-Baqarah: 11)

”...Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi.” (Surah Al-Baqarah: 60)

”...berusahalah dia di bumi, untuk melakukan bencana padanya dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia; sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.” (Surah Al-Baqarah: 205)

”Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka Rasul-rasul kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; kemudian, sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi.” (Surah Al-Maaidah [5]: 32)

”...Tiap-tiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya dan mereka pula terus-menerus melakukan kerosakan di muka bumi, sedang Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan.” (Surah Al-Maaidah [5]: 64)

”Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya...” (Surah Al-A’raaf : 56)

”...dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah menjadikannya (makmur teratur) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman.” (Surah Al-A’raaf : 85)

Iktibar 3



Betapa rupa-rupanya musuh telah berjaya melemahkan minda dan jati diri umat Islam melalui AGENDA PERANG SARAF mereka di media-media perantaraan mereka... bahan bacaan, TV, Internet serta aktiviti-aktiviti yang melalaikan. Bukti nyata di depan mata... bukan sedikit bilangan pemuda pemudi Islam warisan ummah kini yang lebih cintakan keseronokan dan hiburan semata-mata hingga terlupa dirinya punya tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya oleh yang mencipta diri bahawa...

..."Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi"... (Surah Al-Baqarah 2:30)

”Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” (Surah az-Zariyat 51: 56)

Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. (Surah Hud 11: 61)

”....Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Surah Al-An’aam 6:162)

Terima kasih wahai Palestina kerana mencetuskan kesedaran ini... semoga Allah merahmati kalian... Buat mereka yang telah ’pulang’, kekal berbahagialah kalian di sisiNya. Doakan diri ini juga agar dapat meneladani keperibadian kalian... Amin...

Dengan itu... inilah jihad kecil diri ini buatmu saudaraku Palestina... mengajak diri sendiri memperbaiki diri dan mengajak ibu-ibu Muslim yang lain bersama untuk beriltizam membentuk generasi Al-Quran agar generasi ini pada suatu masa kelak menjadi barisan para pemimpin yang teguh jati diri mereka menegakkan daulah Khalifah Islam sebagaimana yang diperjuangkan oleh Allahyarhamah Zainab Al-Ghazali. Semuanya kerana diri ini perlu berbuat sesuatu. Semoga Allah menerima jihad yang teramat kecil ini...
"...Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekelian alam”. (Surah al-An’am: 162)

Masih ada yang mengingatimu...

LONG LIVE PALESTINE! FREE, FREE GAZA!

No comments: