Monday, October 19, 2009

Sokong TV Islam!

Saya sangat menyokong usaha murni pihak JAKIM ini. Memang telah terbukti minda manusia sangat mudah terpengaruh dengan apa yang dilihatnya hari-hari terutamanya pengaruh dari TV! Kalau hari-hari asyik disogokkan dan diperlihatkan dengan perkara-perkara yang melanggar hukum syariat, maka begitulah juga bentuk pemikiran yang akan terhasil dalam minda manusia! Tahniah JAKIM! Tak sabar menunggu penyiarannya dilaksanakan di seluruh Malaysia.


Prof. Madya Dr. Zulkiple Abd. Ghani

MEGA: Malaysia bakal memiliki TV Islam melalui TV JAKIM. Apakah ciri-ciri yang perlu ada di dalamnya?

DR. ZULKIPLE: Pertamanya kita bersyukur kerana telah sekian lama suara mewujudkan TV Islam, akhirnya idea tersebut kini mula mendapat perhatian. Jangan lupa bahawa di Iran usaha ini telah dimulakan sejak tahun 1979.

Kita boleh belajar dari mereka di mana-mana yang perlu. Berkaitan dengan ciri-ciri, paling kurang kita kena tengok tiga perkara penting.

Pertama, dari sudut falsafah dan dasarnya. Yang jelas ia akan menjadi panduan ke mana hala tuju TV Islam ini. Islam mengutamakan fikiran dan ilmu. Kita tidak boleh simplistik, dengan mengatakan biar penerbit menentukan. Mereka tahu apa yang perlu dibuat.

Jika kita banding ada TV dikendali secara free-enterprise, ada berbentuk public broadcasting malah ada berbentuk autoritarian. Kita kena tentukan dasar ini secara jelas.

Di peringkat permulaan ini, falsafah kita ialah TV Islam mesti menggambarkan Islam dalam erti kata sebenarnya. Dulu kita sebut Islam syumul atau Islam sebagai cara hidup.

Justeru sebagai alat atau seperti yang selalu disebut the medium is the message, TV Islam adalah gambaran tentang Islam itu sendiri. Islam yang mengutamakan kesejahteraan, keamanan dan kebahagiaan hidup.

Ia membawa kita kepada perkara atau ciri yang kedua, iaitu tentang pengisian program. Programnya tentulah juga bersifat komprehensif seperti dikehendaki oleh Islam.

Islam mengajar tentang prinsip berekonomi, beribadat, berpolitik, bersosial, berhibur dan semua aspek dalam kehidupan. TV Islam tentulah tidak setakat program membaca al-Quran atau memahami hadis-hadis walaupun ini antara yang terpenting.

Program boleh datang dalam pelbagai format dan tidak terhad kepada talk show atau forum sahaja. Malah kini kreativiti dan inovasi adalah satu tuntutan dalam persaingan merebut minat khalayak.

Juga kita kena lihat dari sudut model, yang ketiganya. Kita tahu kos mengendalikan sebuah stesen TV bukan murah. Ia memerlukan jutaan ringgit, juga sumber tenaga mahirnya.

Jadi kita kena fleksibel dalam perkara-perkara tertentu, misalnya tentang iklan dan kreativiti. Kita kena tentukan beberapa kriteria yang memenuhi kehendak Islam, di mana kita tidak berkompromi dalam perkara pokok tapi kita membuka ruang seluas-luasnya untuk kreativiti.

TV Jakim itu nanti pastinya menimbulkan skeptism. Adakah bentuk hiburannya nasyid dan qasidah sahaja?

DR. ZULKIPLE: Kita tahu sebab selama ini bila disebut rancangan 'agama' TV kita sudah dibentuk sejak sekian lama. Misalnya kita mula TV dengan bacaan al-Quran dan tutup dengan doa.

Juga kita macam sudah sebati dengan format forum dan ceramah. Satu yang mesti kita sedar ialah bagaimana kita perlu branding baru. Kita bukan lagi menumpang waktu siaran tapi mengendalikan sebuah stesen sendiri.

Sudah tentu TV Islam ini akan mempunyai kategori rancangannya sendiri. Kita akan ada berita, rancangan bersifat informasi, hiburan, program realiti, drama, dokumentari malah program juga perlu disusun untuk setiap lapisan umur dan minat khalayak. Apa pun kita perlu bermula dan menambah baik dari semasa ke semasa.

Ada juga yang beranggapan penelitian dari segi etika dan ketepatan berita mengikut Islam di mana tidak membenarkan ruangan seperti gosip dan sensasi akan menyebabkan TV kehilangan penonton?

DR. ZULKIPLE: Sebenarnya ruang berkarya untuk TV Islam cukup luas. Kita tidak boleh melihat kepada beberapa praktik negatif seperti gosip liar, fitnah dan adu domba.

Kita kena bina sebuah model yang mengutamakan kesejahteraan, perpaduan dan saling hidup bersama dengan keadaan rukun damai. Fitrah manusia cenderung kepada perkara-perkara yang baik.

Kita tahu persaingan merebut minat khalayak adalah terlalu sengit kini dengan puluhan rangkaian yang ada. Setiap rangkaian ada peminat tersendiri. TV Islam memang perlu bersaing dengan satu standard yang tinggi.

Kita cukup positif bahawa khalayak yang mengutamakan tamadun, ilmu, etika perlu dibentuk dan menjadi kelompok terbesar dalam negara kita.

Apabila dilancarkan kelak, ini membuka lembaran baru bagi Malaysia dalam mempelopori TV Islam. Bagaimana usaha ini dapat diperhebatkan untuk manfaat negara-negara di bawah Persidangan Negara-negara Islam (OIC)?

DR. ZULKIPLE: Seperti yang saya sebutkan, Iran sebagai sebuah negara OIC telah memulakan usaha ini sejak sekian lama.

Mereka melalui fasa jatuh bangun yang kita boleh pelajari dan laksanakan apa yang sesuai di negara kita. Malah banyak pengalaman itu ditulis oleh para sarjana mereka.

Misalnya mereka berjaya menerbitkan filem-filem yang memenangi anugerah antarabangsa, tapi masih dalam lingkungan syariat. Kita memang boleh menggembleng sumber-sumber yang pelbagai di negara OIC. Kita perlu belajar bagaimana mewujudkan sebuah production house seperti Hollywood yang mampu membekalkan penerbitan-penerbitan berkualiti dalam acuan kita sendiri.

Seperkara yang menghantui TV Islam adalah tentang pengiklanan. Mampukah ia bertahan dan apakah akan ada mereka yang mahu mengiklan di TV itu nanti?

DR. ZULKIPLE: Sebenarnya pengendalian sebuah stesen TV mempunyai strukturnya tersendiri. Kita perlu fahami bagaimana untuk bersaing secara sihat dan boleh bertahan (survive).

Iklan adalah sebahagian dari sumber pendapatan bagi stesen TV dan ia perlu di sokong oleh entiti perniagaan kita. Ia adalah berdasarkan konsep menang-menang, bukan setakat untuk memberi sahaja tanpa 'pulangan'.

Pun begitu, saya percaya di peringkat permulaan ini, strategi-strategi tertentu telah difikirkan untuk memastikan TV Islam di bawah kendalian Jakim boleh muncul sebagai saluran alternatif.

Malah dengan pengendalian yang bijak, disokong pula oleh khalayak yang matang, ia akan menjadi titik sejarah baru bagi negara kita.

Jangan lupa kita juga perlu belajar bagaimana rangkaian lain seperti al-Jazeera mampu ke peringkat antarabangsa.

Sumber: Utusan

No comments: