Friday, October 2, 2009

Ada apa dengan matlamat?

ADA APA DENGAN MATLAMAT?

MUSLIM PERLU JELAS HALA TUJU HIDUP
Oleh Wan Esma Wan Ahmad

MENGETAHUI matlamat sesuatu perkara penting dalam melaksanakan tugas, kerja dan ibadat setiap hari. Seorang pelajar yang faham matlamat belajar akan belajar bersungguh-sungguh, manakala seorang pekerja yang faham matlamat kerja, akan berusaha dalam kerjayanya.

Pendek kata, orang yang jelas matlamatnya akan berusaha untuk mencapainya, berasa mudah untuk mencapainya kerana sudah jelas matlamatnya.

Terfikirkah kita sebelum ini apakah matlamat kehidupan manusia itu dijadikan?

Menjadi seorang lelaki mahupun perempuan, kecil, besar, tua, muda, miskin, kaya, remaja, dewasa dan sebagainya. Apakah matlamat hidup mereka? Manusia tidak dijadikan sia-sia, ada matlamatnya walau di mana sekalipun kedudukan, zaman dan masa.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Dan (ingatlah) tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antaranya secara main-main." (Surah al-Anbiya', ayat 16)
Manusia yang diciptakan Allah juga jelas matlamatnya seperti firman-Nya yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat, "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi? Mereka bertanya (mengenai hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata) "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendaklah menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dan memuji-Mu dan mensucikan-Mu. Tuhan berfirman, "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya."(Surah al-Baqarah, ayat 30)

Manusia wajib taat dan patuh kepada Allah, Rasulullah SAW dengan mengikut ajaran Islam yang terkandung di dalam al-Quran dan sunnah. Mereka hendaklah berusaha meneruskan kehidupan mengikut acuan al-Quran dan sunnah.

Muslim adalah orang yang jelas hala tujunya menjadi hamba Allah yang berjaya mengikut peraturan sebagai khalifah di muka bumi walaupun diuji dengan pelbagai ujian dan halangan kadang-kadang di luar dugaan.

Ini dijelaskan Allah swt dalam firman yang bermaksud...
"Dihiaskan (dijadikan indah) kepada manusia kesukaan kepada benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak, harta benda daripada emas dan perak, kuda peliharaan, dan binatang ternak serta kebun tanaman. Semua itu ialah kesenangan hidup di dunia dan ingatlah pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaiknya (syurga)." (Surah ali-Imran, ayat 14)


Memahami tuntutan qada' dan qadar serta lumrah kehidupan sama ada susah dan senang atau penyakit adalah ujian daripada Tuhan dalam mencapai kejayaan hidup sebagai seorang Muslim.

Realitinya matlamat itu bermula daripada rumah. Ibu bapa mahupun penjaga yang mendidik anak sebenarnya orang yang menginginkan masa depan anak menjadi orang berjaya di dunia dan di akhirat kelak. Oleh demikian, mereka sepatutnya mempunyai matlamat jelas dalam mendidik generasi mereka.

Lukman al-Hakim berpesan kepada anaknya dengan pesanan yang disebutkan dalam al-Quran bermaksud...
"Wahai anakku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan perbuatan mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya, demikian itu adalah daripada perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya. Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan jaganlah engkau berjalan di muka bumi dengan berlagak sombong takbur lagi membangga diri. Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai." (Surah Lukman, ayat 17 hingga 19)

Marilah sentiasa meningkatkan keimanan kita dengan memahami matlamat sebenar kehidupan. Agama bukan sekadar ikutan (taklid) atau hanya untuk digunakan bagi sesuatu perkara seperti semasa perkahwinan, kematian dan sebagainya.

Islam meliputi seluruh kehidupan manusia. Sebagai contohnya sambutan Maulidur Rasul yang disambut setiap tahun bukan saja sambutan yang perlu dibesarkan, tetapi sunnah Nabi SAW itu yang diutamakan.

Muhasabah diri dari masa ke semasa, sejauh mana kita yang dibekalkan dengan al-Quran dan as-sunnah benar-benar mengamalkan Islam sebagai cara hidup. Usah menjadikan watak hiburan dalam mengejar dunia yang sementara ini sedangkan ia tidak diajarkan sunnah Rasulullah SAW.

Telitikan ajaran Islam melalui al-Quran dan hadis kerana segala keperluan kehidupan ada di dalamnya. Manfaatkan kemudahan zaman sains dan teknologi untuk mencapai matlamat hidup Muslim yang sebenarnya.

Usahlah membuang masa dengan perkara tidak berfaedah. Manfaatkan masa dengan sebaiknya selari maksud hadis yang mengajak merebut lima perkara sebelum ia berlalu pergi iaitu, masa muda sebelum datangnya tua, masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum miskin, masa lapang sebelum sibuk dan masa hidup sebelum sakit.

Penulis ialah Panel Penulis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Sumber: nurjeehan.hadithuna.com

“Rebutlah 5 perkara sebelum datangnya 5 perkara, masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum miskin, masa lapang sebelum sibuk, masa hidup sebelum mati”. (HR Ahmad)

Masa muda – masa yang berpotensi, mempunyai tenaga yang kuat dan sanggup menghadapi cabaran untuk membina kecemerlangan
Masa sihat-masa yang mudah untuk digunakan bagi melakukan kebaikan dan ibadat
Masa kaya – peluang yang cukup untuk melakukan ibadat atau kebaikan yang memerlukan kebendaan seperti ibadah haji, zakat, wakaf, derma dan sedekah.
Masa lapang – masa yang boleh digunakan untuk mempertingkatkan diri sama ada untuk ibadah, kerjaya dan menambahkan ilmu.
Masa hidup – digunakan untuk mentaati Allah, perkara-perkara yang manfaat, menyampaikan ilmu yang bermanfaat dan memberikan sedekah jariah untuk bekalan selepas mati.
( QS al-Asr : 1-3 )
( QS al-Qasas : 77 )

No comments: