Wednesday, September 2, 2009

Sukarnya memaafkan

Ada sesuatu hal yang menyebabkan hati ini berasa teramat marah dan kecewa... hanya pada-Nya tempat aku mengadu... Artikel ini sedikit sebanyak meredakan keadaan. Terima kasih pada yang memberi ingatan ini walaupun secara indirectly... kerana terbacanya di satu blog apabila diri cuba mencari kata penawar bagi menghilangkan rasa sedih yang teramat ni. :(

Hidup Terlalu Singkat Untuk Membenci

Ah, terlalu sukar untuk memberi maaf. Bahkan lebih sukar daripada meminta maaf. Masih terasa tusukan rasa bagaikan sebuah dendam yang membara. Masih terngiang-ngiang segala kata. Masih terbayang semua tingkah dan perlakuan. Wajah ‘orang-orang bersalah’ itu terasa begitu menjengkelkan. Memberi maaf kepada mereka seolah-olah menggadaikan harga diri. Ah, apakah maruah ini terlalu murah untuk di sorong tarik dengan harga yang rendah? Dan cukup sakit, apabila mengenangkan ‘musuh-musuh’ itu tersenyum dengan kemenangan.

Namun, itu hanya bisik ‘hati besarku’. Yang melantunkan suara ego dan marah. Kesat dan kesumat. Tetapi jauh dari dalam diri…ada suara lain yang bergetar. ‘Hati kecil’ yang tidak jemu-jemu mengingatkan. Suara tulus yang mendamaikan gelombang jiwa. Bisik telus yang meredakan amukan rasa. Maafkan, lupakan… cintai, sayangi… Berperang dengan mereka bererti berperang dengan diri sendiri. Begitu bisik hati kecil itu selalu.

Pada sebuah persimpangan rasa, tiba-tiba hati disapa oleh sebuah firman:
“Tolaklah kejahatan dengan sebuah kebaikan.Nescaya engkau
akan mendapati musuhmu akan menjadi seolah-olah saudara”

Wahai diri, api jangan dilawan dengan api. Nanti bakarannya akan membakar diri sendiri. Menyimpan dendam sama seperti membina sebuah gunung berapi di dalam hati. Semakin besar dendam itu, maka semakin sakit hati yang menanggungnya. Musuh-musuhmu terus ketawa, sedangkan kau sendiri menderita meneguk bisa.

Musim-musim terus berlalu sewajarnya mendewasakan aku. Pengalaman lampau sentiasa membuktikan bahawa permusuhan hanya akan memberi kepuasan sementara. Apabila ‘fatamorgana’ itu berlalu. Aku akan menjadi lebih dahaga daripada sebelumnya. Apakah akan ku terjah perangkap itu berkali-kali? Oh,tidak. Mukmin tidak akan terperosok dalam lubang yang sama dua kali. Begitu maksud sebuah sabda. Justeru? Cukup sekali!
Biarlah musuh itu ketawa sepuas-puasnya. Beban rasa ini biarlah aku letakkan. Tidak akan ku bawa dalam safar kehidupan yang pendek ini. Hidup terlalu singkat untuk membenci. Bermusuh dengan orang lain, sama seperti bermusuh dengan diri sendiri. Memaafkan orang lain,sama seperti memaafkan diri sendiri. Kata bijak pandai: “Apa yang kita berikan akan kita terima kembali.”

Ah, betapa leganya sekarang…Benarlah bahawa kebaikan itu tampak sukar untuk dilaksanakan. Pahit. Sakit. Tetapi apabila dilaksanakan akan terasa kemanisannya. Manakala kejahatan itu tampak mudah, indah dan manis. Namun apabila dilakukan, pasti ada kekesalan, kepahitan dan keresahan. Ketika ini terasa benar apa yang selalu didengar di dalam tazkirah - yang punya tabsyir dan inzar - bahawa dosa itu sesuatu yang meresahkan. Dendam itu dosa. Memaafkan itu pahala. Memaafkan menjemput datangnya ’syurga’ yang fana, sebelum syurga yang baqa’.

Kini hatiku tertanya-tanya lagi… siapa aku, yang begitu sukar memaafkan? Tuan? Tuhan? Aku hanya hamba. Sedangkan DIA Sang Pencipta itu Maha Pemaaf, Maha Pengampun, siapa aku yang kerdil ini untuk terus berdendam? Ya ALLAH, ampunkan aku. Sengaja atau tanpa sengaja, sering atau kekadang… aku ‘terlanjur’ menumpang hak-MU..

BERILAH KEMAAFAN ITU

Berilah kemaafan itu
Lepaskan segala belenggu
Tanpa berpaling lagi
Pada dendam dan amarah diri

Berilah senyuman itu
Ikatkan dengan doa yang suci
Pada salam yang terhulur
Pasti jiwamu kan terhibur

Berilah hati itu
Bebaskan segala yang terbuku
Tanpa diguris duka
Pastikan dia bahagia

Berilah apa yang dipinta
Dengan apa yang kau ada
Pasti Tuhan menilainya
Diberi kelapangan jiwa!

Ustaz Pahrol Mohamad Juoi

Kemaafan...
Manusia lain mungkin boleh memaafkan, tetapi maafnya sukar menambah kasih. Mungkin lidahnya mengucap maaf, tetapi hatinya tidak menginginkan pertemuan kedua. Biarlah segalanya selesai di sini. “Aku enggan bertemu kamu di Akhirat sana!”, kata hatinya yang berbekas pada maaf yang meninggalkan tawar dan hambar untuk sebuah persahabatan.

Tetapi tidak Dia.

Tidak bagi Allah SWT iaitu Tuhan yang Ghafur lagi Rahim. Bukan sahaja Maha Pengampun, malah Dia juga yang Maha Penyayang. Bukan sahaja Diri-Nya suka mengurniakan keampunan, malah setiap insan yang memohon ampun itu dikasihi dan disayangi-Nya. Keampunan yang disusuli kasih sayang-Nya, adalah sesuatu yang Maha Tinggi. Itulah Dia, Allah yang Ghaffar, Allah yang Rahim.

Tiada makhluk yang mampu mengambil acuan itu… memaafkan, dan seterusnya menyayangi. Malah lebih kerap seorang insan terpaksa memaafkan insan yang lain, akan menjadikan hubungan semakin hambar dan tawar.

Ustaz Hasrizal Abdul Jamil

*** Siapalah aku... sedang Allah sangat pemurah memberi kemaafan.

“Ketahuilah dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.” Ar Ra’d: 28

Tenanglah wahai hati ini...

1 comment:

Mama Siti said...

Komen di genta rasa yang amat meredakan hati...

Fasa pertama, mengenal dan tertarik kepada kebaikannya. Ini mudah. Fasa kedua (setelah bersahabat agak lama dan rapat), mengenal keburukan dan bersabar menghadapi keburukan itu. Bukan kita sahaja, dia pun begitu. Kekadang kita cuma nampak kita “sabar” dengan karenahnya. Pada dia juga mungkin sedang “sabar” dengan karenah kita. Berdoalah, supaya Allah perkukuhkan hati kita dan Allah permudahkan hati dia berubah. Dont worry, be happy! Hati-hati menjaga hati. Bila marah atau terasa hati, cepat-cepat selawat dan ingatkan hati… aku ini hamba Allah.