Wednesday, September 2, 2009

Nak berbuka dengan abi



“Syahidah, panggil adik kamu. Waktu maghrib hampir masuk. Kita buka bersama.”

Syahidah beredar dari dapur. Dua tiga langkah dia tiba di muka pintu kamar adiknya.

“Amru, Amru. ummi panggil berbuka,” Syahidah menyampaikan pesanan ummi kepada adiknya yang baru berumur 6 tahun itu. Amru keluar dari bilik. Dari jendela, cahaya kuning keemasan menyimbah masuk ke ruang kecil rumah Syahidah sekeluarga. Dinding rumah yang kusam warnanya itu ibarat berganti wajah disalut warna mewah dari syurga.

Siaran stesen televisyen Al-Aqsa terpasang. Serentak, langit semenanjung Gaza sarat mengandung suara muazzin mengumandangkan azan.



Kurma dicapai dari mangkuk kecil. Manisnya segera ditafsir otak setelah dikesan reseptor rasa yang melaut dipermukaan lidah. Amru tersenyum sambil mulutnya menggumam biji kurma, menghabiskan manis yang masih tersisa.

“Mengapa tersenyum wahai wira kesayangan ummi?” Syahidah juga terpinga-pinga dengan kelakuan aneh adiknya yang seorang itu.

“Ummi, ummi. Abikan masih ada lagi. Mengapa tidak kita berbuka bersama-sama dengan abi? Saya rindukan abi,” ujar Amru.

Ummi tergamam. Tidak langsung menyangka soalan itu yang sedang bermain difikiran anaknya. Syahidah segera membaca gelora di jiwa umminya. Dia merenung tajam ke arah Amru.

“Amru, kenapa cakap begitu? Kan kita dah berjanji tidak akan sedihkan hati ummi? Kamu cepat minta maaf pada ummi, atau nanti kamu..” belum pun sempat Syahidah menghabiskan amarannya, ummi bertindak mendamaikan.

“Apa maksudmu wahai Amru?” Ummi bertanya untuk kepastian. Sungguhpun hatinya sedikit terusik dengan soalan itu, namun dia tidak mahu segera menghukum. Dia mesti memberi peluang kepada anaknya untuk memberikan keterangan lanjut kepada pertanyaan yang di luar lazim itu. Satu keluarganya, bahkan satu bandar Gaza tahu yang Jeneral Abdul Aziz sudah pulang menyambut janji-janji Tuhannya. Ruang mindanya penuh dengan kenangan bersama arwah suaminya. Abdul Aziz seorang tentera elit dalam Briged al-Qassam, sayap bersenjata kerajaan negara Palestin, Hamas. Mereka disatukan dengan bantuan unit bait muslim. Selama hampir 10 tahun menjalani kehidupan sebagai suami-isteri, mereka mengharung pelbagai perkara bersama. Dia rasa sungguh bersyukur kerana disatukan dengan suami yang kuat pegangan agama dan kental semangat jihadnya.

Rumah mereka di semenanjung Gaza ini adalah rumah yang ke-5. Rumah-rumah mereka sebelum ini habis dirobohkan tentera penjajah Israel. Bermula dengan rumah pertama mereka di Jenin, Nablus, Ramallah, sebentar di Khan Younis akhirnya di bandar Gaza. Namun semua itu tidak menggoyahkan asas keimanan mereka. Tidak sedikit pun melonggarkan ikatan dan perasaan cinta dan kasih antara mereka. Ia bahkan bertambah. Semua berkat kredibiliti kepimpinan dan didikan yang diberikan oleh suaminya yang tercinta. Bapa kepada Syahidah dan Amru. Salah seorang hero bagi penduduk Palestin dan umat islam keseluruhannya. Bukan dia tidak pernah beremosi, bahkan berkali-kali. Sebagai manusia biasa dia juga merasai apa yang dirasai manusia biasa jika disuakan dengan ujian yang sama. Tetapi, rasa sedihnya akibat kehilangan harta dunia diganti dengan janji-janji Allah di syurga kelak. Rasa benci dan amarah dihatinya yang timbul kerana memilih jalan yang susah ini dididik agar disalur membenci musuh-musuh Allah. Dan tenaga yang meluap daripada amarahnya disalur dengan memberikan didikan terbaik untuk anak-anaknya yang sedang membesar itu. Alhamdulillah, Allah memilihnya untuk hidup dalam lingkungan yang baik dan dia merasakan dirinya sentiasa diperbaiki.

“Ummi, ummi. Dengarlah,” pinta Amru melihat umminya tenggelam jauh dalam lamunan. Sang ummi sedikit tersentak. Dia mengelus lembut rambut anaknya yang sedikit perang itu. Syahidah sudah berhenti mengunyah. Dia menunggu adiknya mengeluarkan kenyataan maaf.



“Tadi di sekolah, mu’allim(cikgu) ada sebut firman Allah dalam Al-Quran:
Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu: Orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.

Mu’alim kata pejuang-pejuang yang syahid membela agama Allah, mempertahankan tanahair daripada diceroboh penjajah sebenarnya masih hidup. Amru tanya dengan mu’allim, abi masih hiduplah jika begitu? Mu’allim kata ya. Amru nak jumpa abi. Marilah ummi kita jumpa abi…”

Ummi kehilangan kata-kata. Pemahaman anak-anak kecil selalu literal. Secara terus. Tersurat, tidak majazi. Dalam tak sedar dia sedang memeluk erat Amru ke dadanya. Si ummi sangat terharu. Air matanya berlinangan tidak tertahan. Amru kehairanan. Kakak semakin marah dengan adiknya.

“Amru, lekas minta maaf dengan ummi!” bentak Syahidah garang. Amru jadi serba salah.

“Maafkan Amru ya ummi…” rayu Amru dengan suara perlahan. Dia bimbang kalau-kalau kata-katanya telah menyebabkan umminya menangis.

“Tidak sayang, tidak. Amru tidak bersalah apapun. Cuma ummi gembira. Gembira dengan keprihatinan anak ummi dengan ayat-ayat Allah. Gembira dengan keyakinan anak ummi dengan janji-janji Allah,” ujar ummi. Amru masih dalam hangat pelukannya. Syahidah jadi sedikit bingung. Amru hilang rasa gentar. Dia mula tenteram.

“Amru sayang, memang benar abi masih hidup. Tetapi kita tidak boleh berjumpa dengan abi sekarang. Abi hidup tetapi hidup di dunia lain. Tempat yang kita tak dapat nak pergi…”

“Abi ada di mana ibu?”

“Abi ada di sisi Allah, Tuhan yang menjadikan abi, ummi, Amru, Syahidah, dan seluruh yang ada di alam ini. Tempat tu kita tidak nampak, malah kita pun tidak tahu di mana. Jadi kalau tidak tahu bagaimana kita boleh pergi kan?”

“Kalau begitu boleh Amru bercakap dengan abi?”

“Juga tidak boleh sayang. Tetapi Amru boleh selalu mengadu pada Allah apa-apa yang Amru nak sampaikan kepada abi. Insya-Allah pesanan Amru akan sampai pada abi,” cadang ummi. Amru langsung menadah tangan memohon doa. Syahidah hanya melihat gelagat adiknya itu. Ummi mengesat sisa-sisa air yang masih bergenang dipelupuk matanya yang redup itu.

“Amru doa supaya Allah jumpakan Amru dengan abi dalam mimpi. Bolehkan ummi?” soal Amru. Ummi tersenyum manis.

“Boleh sayang. Permintaanmu itu mudah sangat untuk Allah yang Maha Kuasa tunaikan,” jawab ummi.

“Dah, mari makan. Nanti boleh solat maghrib, bersiap untuk ‘isya dan tarawih di Masjid Omar.” Amru kelihatan berpuas hati dengan jawapan umminya. Syahidah tak jadi marah melihatkan ibunya yang sudah kembali ceria. Mereka sama-sama menjamah roti cecah dengan kuah kambing.

Sebelum tidur malam itu, ummi datang dan duduk di tepi Amru.

“Amru. Amru tahu tak ada satu lagi cara untuk Amru bertemu dengan abi,”kata ummi memulakan bicara.

“Iyakah ummi? Apa dia?” soal Amru teruja. Dia bingkas bangun dan duduk daripada pembaringan.

“Amru jadi macam abi. Berjuang macam abi. Dan syahid juga macam abi!”

“Dengan itu Amru dapat berjumpa dengan abi?”

“Bahkan lebih daripada itu yang akan kau dapat wahai wiraku,”

“Sekarang tidur dahulu ya. Moga mimpi yang indah-indah,” ujar ummi sambil mengucup kening Amru. Amru menadah tangan membaca doa tidur dan sekali lagi berdoa agar dia bertemu dengan abinya yang tercinta dalam mimpinya malam ramadhan yang barakah itu.

Ummi perlahan-lahan keluar daripada bilik Amru. Dia menuju ke tingkap yang masih terbuka luas. Angin dingin malam dari laut Mediterranean berkejar-kejar masuk memenuhi ruang rumah ummi, Syahidah dan Amru. Seolah-olah ramai yang berkunjung ke rumah malam itu. Sama bertasbih membesarkan Ilahi. Ummi berbisik sendirian;

“Abang, anak-anak kita dah besar. Mudah-mudahan saya berjaya mendidik mereka menjadi pelapis pejuang yang menegakkan kebenaran…jadi macam abang…”

Air mata ummi gugur lagi.

annajm5,
Sempena Hari Al-Aqsa Sedunia (21 Ogos 2009)
Partially constructed on the way back to KL from Malacca,
PDA.

No comments: