Thursday, September 17, 2009

Jalan-jalan terakhir Kimi

Kenangan ini takkan dapat dia lupakan sampai bila-bila...

Satu hari ketika cuti sekolah di sekitar tahun 2001, dia mengajak ketiga-tiga adiknya bersiar-siar di Bukit Ekspo UPM. Sebenarnya dia punya satu agenda yang hendak dikongsikan bersama dengan mereka yang dia rancangkan dalam diam-diam. Ketika itu dia sedang sarat mengandung anak kedua. Bersama mereka dan anak perempuan yang berumur 1 tahun lebih dia memandu menuju ke destinasi.

Setelah tiba dia ajak mereka duduk melepak di atas padang rumput di sana dan dia memulakan bicara. Tumpuan dia sebenarnya kepada adik lelakinya yang seorang ini. Dia amat risaukan keadaannya yang nampaknya agak terkesan menerima tempias angin pergolakan rumahtangga kedua orang tua yang adakalanya bertiup kencang. Dia tak nak apa yang berlaku akan menyebabkan adiknya itu berputus asa dan terus lemah semangat terutamanya dalam pelajaran lebih-lebih lagi adiknya sedang berada di dalam Tingkatan 3. PMR tak lama lagi.

"Adik-adik, walau apapun yang berlaku di sekeliling kita... kita jangan mudah berasa putus asa. Kenapa pulak kita nak merugikan masa depan kita sendiri? Biarlah mereka dengan masalah mereka. Mungkin kita tak berupaya untuk mengawal keadaan yang berlaku di sekeliling seperti yang kita harapkan tapi kita boleh kawal diri kita sendiri."

"Adik-adikpun tahu, kakak dah terlebih dulu menghadapi situasi ini... tapi kakak tetap keraskan hati. Pernah juga ada satu ketika kakak rasa seperti ingin lari saja kerana hati terasa tidak tenang dengan suasana sekeliling... Tapi syukur kakak masih berupaya 'bertahan'... Kakak tetapkan hati untuk belajar bersungguh-sungguh kerana ingin ke sekolah berasrama. Sekurangnya kakak 'lari' dari rumah dalam keadaan yang baik." pujuk dia lagi kepada adik-adiknya terutamanya adik lelaki yang seorang itu.

"Alhamdulillah... syukur di atas segala kesabaran... Tengok macam mana keadaan kakak sekarang. Jadi janganlah putus asa dik hingga kita buat perkara-perkara yang tak sepatutnya... Kita kena sayangi diri kita sendiri, dik." Sambung dia lagi.

Dia keluarkan buku nota kecil dan pen yang sentiasa ada di dalam beg tangannya dan dia lukiskan satu garisan lurus dan cabang2 di kiri kanannya.


"Dik kita perlu sampai ke penghujung garisan lurus ini kerana di sinilah tujuan sebenar hidup kita dik... supaya hidup kita tak disia-siakan sebelum sampai masa dijemput 'pulang'... dan segala cabang-cabang di kiri kanan jalan ni... itulah dia segala cabaran dan dugaan yang perlu kita hadapi dalam perjalanan kita menuju 'destinasi terakhir'. Perjalanan perlu kita teruskan tapi langkahlah dengan penuh hati-hati. Hanya fokus kepada matlamat hidup kita dik, jangan dipengaruhi gangguan-gangguan lain".
"Dan bahawa yang Kami perintahkan ini adalah jalanKu yang lurus, maka ikutilah dia; dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan yang lain, kerana jalan-jalan itu menceraiberaikan kamu dari jalan-jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertakwa." (QS 6:153)

Tak dia sangka adik lelakinya itu menangis. Hatinya menjadi sayu melihat keadaan adiknya tapi dia cuba keraskan hati untuk tidak turut menangis. Adik-adik yang lain juga dah bergenang airmata mereka.

Selang lebih kurang sebulan selepas itu di bulan Ramadhan...

Pintu bilik dia diketuk kuat... jam menunjukkan pukul 2.30 pagi ketika tu... Masih terlalu awal untuk bersahur. Bila pintu bilik dibuka, dia melihat bibiknya menangis. "Kenapa ni, bik?", tanya dia kehairanan. Dengan nada yang tersekat-sekat dia berkata, "Ibu... emak ibu nelefon... adik ibu di kampung..." Allah... Dia sahajalah yang Maha Mengetahui betapa lajunya degupan jantung dan berkecamuknya fikiran dia ketika tu.

Dia terus bergegas menuruni tangga untuk mendapatkan telefon hingga terlupa bahawa dia sedang sarat mengandung. Akibatnya dia terlangkau satu anak tangga menyebabkan kandungannya yang ketika itu berusia lebih kurang 7 bulan lebih itu terhenjut ke bawah. Rasa senak tidak lagi dia hiraukan... "Kak, Adik Kimi dah tiada... Dia kemalangan...", kata emak sambil menangis. "Allah... adikkk...!!!!!"

Peristiwa itu sudah lebih kurang 8 tahun berlalu seusia anak keduanya kini. Rupa anaknya itu sedikit sebanyak iras wajah arwah bapa saudaranya. Namun hingga sekarang dia tetap bersedih tapi dalam masa yang sama dia juga amat bersyukur kerana 2 sebab.

Pertama, dia sempat menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang kakak untuk menasihati adiknya kerana dia tak mahu adiknya sia2kan masa depannya. Dan kedua, tempohnya yang sesingkat 15 tahun di dunia sementara ini sebenarnya telah menyelamatkan arwah adik dari terus berhadapan dengan tipu daya dunia yang tak akan berkesudahan. Itu memang tekad sang Syaitan.
"(Iblis) menjawab, 'Kerana Engkau (Allah) telah menyesat (menghalau) aku, pasti aku akan menghalangi mereka dari jalan yang lurus. Kemudian aku akan mendatangi mereka dari depan, belakang, kanan dan kiri mereka, dan Engkau akan mendapati banyak dari mereka yang tidak bersyukur." (Surah Al-Araf: 16-17)

Dan dia merasa yakin... apalah sangat amalan dosa yang dibawa arwah adik dalam tempoh sesingkat 15 tahun itu ketika bertemu Pemilik Segala Kehidupan ini. "Semoga Jannahlah rumah abadi adikku ini..."

Dia yang masih tinggal entah bagaimanalah kesudahannya... tapi dia juga perlu teruskan perjalanan... Semoga dia tiba dengan selamat ke 'destinasi itu'. Tak tahu bila tiba masanya. Mungkin 30 tahun lagi, entah2 esok lusa... entah2 sekejap lagi... bimbang jika tidak bersedia... "Ya Allah, ampunilah diri ini... insan biasa yang sering terleka... Berikan diri ini kecerahan hati untuk menerima petunjukMu agar aku tidak terus tersesat jauh..."

Pengajaran ini buat dirinya... iktibar juga buat semua...
Akan dia cuba sedaya upaya untuk memelihara suasana dalam rumahtangga sehingga anak-anak rasa rindu untuk pulang ke rumah instead of menjauhi rumah. Hanya padaNya dia berharap dan memohon kekuatan. Amin...

No comments: