Sunday, September 6, 2009

Ada sesuatu itu...

Suatu ketika dulu, aku menyusuri hari-hari dalam hidup ini menurut gerak hati sendiri. Kata orang, gamble sajalah... baik buruk akibat dari tindakan di penghujungnya... hadap sajalah.

Dalam ketidaktentuan hidup itu, aku bersyukur aku masih berkesedaran untuk punya tujuan hidup (sekadar matlamat keduniaan ketika itu). Aku ingin berjaya dalam pelajaran kerana aku perlu memperbaiki taraf kehidupan kami sekeluarga. Itu aku pasti! Aku usaha dan terus usaha hingga tercapai apa yang aku impikan kini...

Tapi entah kenapa pula... tiba-tiba aku rasa seperti masih ada lagi yang kekurangan dan aku sering pula merasa kebosanan. Aku cuba mencari dan terus mencari apa puncanya aku berperasaan begitu? Apa lagi yang tidak cukup dalam hidup aku? Aku sudah punya keluarga, aku sudah punya kerjaya... jadi apa lagi?

Tiba satu ketika, aku rasa aku sebenarnya masih belum berjaya dan bahagia! Aku cuba mencari apa ertinya berjaya dan bahagia yang sebenarnya? Hati aku tergerak untuk membuka lembaran kitab yang bernama Al-Quran itu. Aku sangat fasih membaca kitab itu tapi maknanya masih misteri bagiku.

Rupa-rupanya jawapan yang aku cari-cari selama ini ada di situ... Setelah usia aku sebegini baru aku temui definisi yang terbaik itu. Better late than nothing, isn't it?

Jika dulu tujuan hidup aku hanyalah untuk berjaya dan bahagia setakat di dunia saja tapi sekarang ini persepsiku tentang tujuan hidup telah berubah. Tujuan hidupku kini adalah untuk meraih redha Ilahi untuk berjaya dan bahagia di dunia dan di akhirat kelak. Dunia ini sebagai tempat untuk mengumpul bekalan amalan untuk dibawa semasa mati. Mati itu pasti! Adik lelakiku telah lama meninggalkan aku di usianya 15 tahun! Ya, mati itu pasti! Aku yang masih tinggal ini ternyata Allah masih memberi peluang kepadaku untuk memperbaiki diri ini. Semoga aku terus diberi kekuatan untuk tidak menyia-nyiakan peluang yang Allah berikan ini DENGAN BERUBAH!

Untuk itu, aku berazam untuk terus memperbaiki makna hidup ini... namun semuanya masih kuserahkan pada kuasa Allah untuk terus memberi semangat padaku. Aku ingin berubah kerana aku inginkan bahagia dan kejayaan yang mutlak!

Kalian jugak tentu ingin bahagia dan berjaya, bukan? Sama-samalah kita...

No comments: