Monday, January 4, 2010

Pengisian hidup yang berfaedah

MEMBANTU mereka yang memerlukan tanpa mengharapkan balasan adalah sesuatu yang mulia bukan sahaja di sisi agama tetapi juga masyarakat.

Namun, berapa ramaikah yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga untuk tugas sukarela seperti ini.

Bagi Harlina Zainudin, 37, dia sudah bergiat aktif dalam bidang sukarelawan sejak menetap di Amerika Syarikat (AS) lagi. Dia merantau ke negara Uncle Sam selama lima tahun bermula 1996 untuk untuk mencuba nasib di tempat orang.

"Di sana, saya berkawan dengan semua orang. Bermula dengan satu pertolongan kepada seorang rakan, saya dikenali sebagai sukarelawan yang membantu mereka dalam kesusahan.

"Saya turut memberi bantuan kepada orang Malaysia yang dihalau oleh tuan rumah. Mereka tinggal dengan saya sehingga mendapat rumah baru," katanya.

Kini ibu beranak satu ini menyertai Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor (Pantas). Pantas adalah sebuah organisasi di bawah kerajaan negeri yang menyalurkan bantuan kepada mangsa bencana alam dan sebagainya.

Walaupun baru menyertai Pantas, Harlina berkata, dia kini lebih dekat dengan aktiviti digemarinya sejak dulu iaitu mendampingi mereka yang memerlukan.

Harlina merupakan sukarelawan sepenuh masa. Biarpun baru setahun dengan pertubuhan itu, dia sudah mempunyai dua pengalaman membantu mangsa bencana iaitu tanah runtuh Bukit Antarabangsa, Ampang dan juga gempa bumi di Padang, Indonesia.

Kata Harlina, misi bantuan yang disertai benar-benar mengajarnya erti kehidupan dan juga kebesaran Tuhan.

"Kami berada di sana (Padang) sejak hari pertama. Saya membantu mangsa-mangsa memunggah barangan dari rumah mereka ke kawasan yang lebih selamat.

"Bila tengok kesusahan orang lain, secara tidak langsung kita dapat merasai bebanan yang mereka tanggung. Ketika itu tidak terfikir langsung mengenai darjat dan pangkat. Apa yang perlu ialah cuba memberi mereka bantuan dan keselesaan," katanya.

Kesempatan menemui mangsa gempa bumi memberi kesedaran kepada Harlina betapa beruntungnya tinggal di Malaysia

Bersyukur

Selain dapat melakukan aktiviti kemanusiaan, penglibatannya dalam sukarelawan juga memberinya peluang melihat negara orang.

Ketika berada di Padang, Indonesia, Harlina memberitahu, dia berasa begitu insaf dan bersyukur kerana berada di Malaysia yang bebas daripada sebarang bencana dan pergolakan.

Dia bersama ahli Pantas yang lain pergi ke Kampung Tangah, Pariaman yang merupakan salah sebuah kampung yang terjejas teruk ekoran benca gempa bumi yang berlaku pada 30 September lalu.

Gempa menggongcang Padang pada 5.16 petang berpusat di kilometer 57, barat laut Pariaman, disusuli gempa bumi kedua 6.2 skala Richter pada 5.38 petang berpusat di kilometer 22 ke barat laut Pariaman.

Di sana mereka mendirikan khemah sementara kepada keluarga yang hilang tempat tinggal dan juga menggali 'sumur bor' iaitu telaga pam air untuk sumber air bersih.

Walaupun terdapat 'persengketaan' yang sebelum ini diuar-uarkan oleh sesetengah media, Haslina memberitahu, dia tidak melihat keadaan seperti itu sepanjang berada di sana.

Kedatangan sukarelawan dari Malaysia disambut dengan penuh mesra dan ada juga yang menitis air mata ketika menerima bantuan.

Harlina mengajak belia di luar sana agar menceburi bidang sukarelawan. Daripada melakukan aktiviti tidak berfaedah, boleh beramal dengan bantuan yang diberikan.

Kepada mereka yang berminat boleh menghubungi Harlina di talian 0193890858 atau Yoges di 0122010502.

Sumber: Kosmo, 5 Jan 2010.

No comments: