Tuesday, December 8, 2009

Langkah mengelak diragut

Bergelar ibu tunggal sekelip mata

Oleh MOHD. TURMADZI MADUN
turmadzi.madun@kosmo.com.my


Noriha yang cedera parah akibat diragut masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Noriha Abdul Rahman, 28, hanya mengharapkan mahligai perkahwinannya bahagia dan berkekalan sebaik dia disahkan sebagai isteri kepada Abdul Rahman Khadladin (gambar kecil), 33, pada 27 Mei 2006 lalu.



Pasangan yang bekerja sebagai pengemas bilik dan pelayan di Hotel Ritz Charton di Jalan Imbi di sini bernikah selepas lapan bulan mereka berkenalan. Perkongsian hidup mereka kemudian dikurniakan seorang anak perempuan, Zalifah Qistina, 15 bulan.

Namun, dalam kegembiraan melayari alam perkahwinan, kelmarin menjadi hari paling malang buat Noriha apabila dia kini bergelar ibu tunggal manakala anaknya menjadi yatim.

Suami dicintainya maut akibat terjatuh dari motosikal yang ditendang oleh dua peragut di Jalan Perkasa 2, Taman Maluri di sini.

Sejam sebelum tragedi itu, pasangan itu bersama anak mereka dan kakak Noriha, Norlida, 31, berada di Jusco di Taman Maluri untuk membeli patung Mickey Mouse kegemaran Zalifah.

Noriha dan suami kemudian menunggang motosikal pulang ke rumah di Desa Pandan kerana bekerja pada pukul 4 petang. Zalifah pula dibawa pulang oleh kakak Noriha dengan kereta.

Noriha memberitahu, sebaik keluar dari Jusco, dia perasan ada sebuah motosikal Honda EX5 warna putih dinaiki dua lelaki mengekori rapat motosikal dinaiki mereka.

Sampai di Jalan Perkasa 2, Noriha menjerit kepada suaminya: 'abang jaga ada orang mahu himpit.'

Serentak itu, seorang lelaki telah meragut rantai leher dipakai oleh Noriha. Rantai leher emas bernilai RM2,000 itu merupakan hadiah Rahman kepada Noriha pada upacara membatalkan air sembahyang selepas mereka diijabkabulkan.

Sumber: Kosmo, 9 Dis 09.

******************************************

Sangat bersimpati dengan kejadian yang menimpa keluarga ini. Pada hemat saya, mungkin kita boleh cuba mengambil beberapa langkah pencegahan. Antaranya...

Jangan mendedahkan barangan kemas yang kita miliki. InsyaAllah jika kita memakai tudung dan baju berlengan panjang (kata lain menutup aurat) maka tidaklah menampakkan barang kemas tersebut yang tentunya akan menarik perhatian si peragut.

Ada baiknya kita mengambil iktibar dari Surah An-Nur ayat 30 ini bahawa Allah swt telah berfirman "Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali apa biasa nampak iaitu wajah dan kedua-dua tapak tangan dan hendaklah mereka menutup dada mereka dengan kain tudung mereka dan janganlah menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada suami mereka, ayah mereka, ayah suami mereka, putera-putera mereka, putera-putera suami mereka, saudara-saudara lelaki mereka, putera-putera saudara lelaki mereka, putera-putera saudara perempuan mereka, wanita-wanita mereka, budak-budak yang mereka miliki, pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan terhadap wanita, atau anak-anak yang belum mengerti berkenaan aurat wanita."



Dan sebolehnya tidak menggunakan beg yang memudahkan si peragut menariknya terutamanya semasa kita sedang berada di atas motor.

Sekiranya berjalan kaki, elakkan berjalan seorang diri di kawasan-kawasan yang agak sunyi dan berjalan melawan arah laluan kenderaan supaya kita dapat alert pada keadaan sekeliling di hadapan kita.

Wallahu'alam...

No comments: