Monday, January 25, 2010

Yey! Yey! PS2

"Hah! PS2!" Ternganga mulut Angah sebaik saja membuka bungkusan yang sengaja Abah tinggalkan dalam kereta dan minta Angah ambilkan. Konon2 untuk... surprise!!!

"Yey... yey...! Abah beli PS2!" Amboi... gembira sungguh mereka... bagai 'pucuk dicita ulam mendatang' kata orang tua-tua. :)

"OK, OK... seronok-seronok juga... tapi jangan lupa ucap terima kasih pada Allah sebab kalau Allah tak bagi rezeki pada Abah tentu Abah tak dapat belikan PS2 untuk Angah, Kakak dan Acik main. Lagi satu... time study kenalah study tau..." pesan mama yang memang pada mulanya berat hati bila abah suarakan hasrat abah untuk beli. Reason mantap abah untuk mama meng'OK'kan cadangan dia tu... "Takde la kita susah hati dia entah ke mana... biar kawan2 dia yang datang ke rumah kita... senang nak pantau..." Hmmm... apa-apa ajalah abah...

Kek dan PS2

"Kakak, Angah, Acik... mari sini kejap. Mama nak cakap sikit", dia memanggil ketiga-tiga anaknya. Kelakar pula rasanya dia melihat riak wajah mereka yang kelihatan sedikit resah ketika itu. Ehmm... dia rasa dia tahu kenapa… Kerana kebiasaannya kalau dah dipanggil kesemuanya begitu, tentunya ada sesuatu yang tidak kena di mata atau di telinga atau di hatinya. Walau adakalanya tidak semua antara mereka yang berbuat salah, biar semua sekali mendengar teguran agar yang lain takkan melakukan kesalahan yang sama... Bukan setakat di tempat kerja sahaja perlu ‘work smart’ malah di rumah juga perlu… tapi dengan istilah yang sedikit berbeza ‘didik smart’. Cakap sekali saja… tapi mesej sampai pada kesemuanya serentak.

“Mama panggil ni bukan sebab nak marah-marah... cuma mama nak ajak bersembang je...”, terang dia. Wah… lega bukan main nampaknya mereka.

“Kakak... katakanlah kakak nak masak kek (sebab kek memang kegemaran kakak) macam mana kakak nak pastikan kek yang kakak masak nanti tu akan jadi elok dan sedap? Berkerut-kerut muka kakak cuba mencari jawapan...

"OK... biasanya kakak akan rujuk di mana?" Dia cuba mempermudahkan.

"O... kakak tau! Kakak tengok buku resepi mama la..." Ohhh... dia memang banyak beli buku resepi cuma hasil masakannya sahaja tak muncul-muncul juga… “Aaa... lagi satu... kakak tanya orang la mama". Hmm... bagus.

"OK... Angah dan Acik pula... mula-mula Abah nak pasang PS2 dulu, ingat tak apa Abah buat dulu?" Tanya dia. "Angah tau... Angah tau... Abah baca buku panduan macam mana nak pasang PS2!" Hmm... bagus. Nampaknya dapat juga mereka menjawab ye...

"OK... kakak, kenapa kita kena rujuk pada buku resepi untuk masak? Angah dan Acik... kenapa kita kena baca buku panduan untuk pasang PS2?", tanya dia lagi.

"Sebab kita tak nak salah la ma... nanti kek yang kakak nak masak tak jadi pula", jawab si kakak. "Sebab nanti Angah dan Acik tak dapatlah main PS2 kalau salah pasang", jawab Angah pula... si Acik memang tak rajin sangat nak menjawab... tak berapa faham lagi agaknya... 6 tahun.

"OK, sekarang mama nak tanya soalan lain pula tapi ada kaitan dengan soalan tadi. Manusia lambat-laun akan meninggal dunia tak?"

"Haa... aaa... mama, macam pakcik adik mama tu kan?" balas kakak. Sedih rasanya apabila si kakak mengingatkan dia pada adik tersayang yang dah pergi terlebih dulu.

“Ya... bila sampai saja masanya... Allah akan jemput kita semua yang diciptaNya pulang pada Allah... macam arwah pakcik. Kita tak tahu bila. Boleh jadi kejap lagi..." Jawab dia mengiyakan. "Hah... kejap lagi?!" Angah sedikit terkejut. "Iyalah... boleh jadi kan... sebab tu kita kena buat baik sepanjang masa... Kalau mama 'pergi' kejap lagipun kurang-kurangnya mama baru buat satu perkara yang baik. Ingatkan anak mama supaya tak lupa Allah..." dia menyambung.

"Hmmm... kemudian apa akan jadi pada kita selepas tu?”, tanya dia lagi.

"Ustazah kata kita semua akan dibangkitkan di Padang Mahsyar, tapi tak tahu la bila... lepas tu kan ma siapa yang banyak pahala akan ke Syurga, siapa yang banyak dosa akan ke neraka", jawab si kakak lagi. Ohhh... Alhamdulillah... hasil didikan sekolah agama. Terima kasih buat guru-guru yang sama-sama membimbing.

"Kalau macam tu.... anak-anak mama pilih nak ke mana? Syurga atau Neraka...?", tanya dia lagi.

"Ishhh... nak pergi Syurga la mama... Ustazah kata di Neraka tu panas... Takut...!!!" sambung Angah bersungguh-sungguh.

“Macam mana agaknya kita nak ke Syurga tu…?, tanya dia lagi ingin menguji mereka. Masing-masing kelihatan tercari-cari jawapan. Dia cuba permudahkan kekusutan mereka.

“OK, ini kaitannya dengan soalan mama awal-awal tadi… Kalau kita nak masak kek kita akan rujuk buku resepi sebagai panduan dan kalau kita nak main PS2 kita kena rujuk buku panduan untuk cara memasangnya… Kalau nak ke Syurga juga kita dah ada panduannya… Cuba teka apa panduannya?”, tanya dia lagi.

“Al-Quran kan mama?”, Angah cuba meneka dengan Acik mengangguk-angguk. Sama bersetuju agaknya. “Betul tu… itulah sebaik-baik panduan hidup kita untuk menuju ke Syurga. Ayat-ayat Al-Quran itu datangnya dari Allah yang mencipta kita dan seluruh isi alam yang lain termasuk juga Syurga dan Neraka. Sebagaimana kita percayakan panduan membuat kek dari orang yang mencipta resepi kek tu dan kita juga percayakan panduan dari mereka yang mencipta PS2 sepatutnya juga kita yakin dan percaya pada panduan dari Allah yang mencipta diri kita ni…”, terang dia lagi panjang lebar.

“Faham ke apa yang mama cakapkan ni?”, tanya dia sekadar inginkan kepastian. Faham ma…”, jawab mereka. "OK selain Al-Quran, kita juga boleh rujuk pada hadis dan sunnah Nabi. Kita boleh contohi sikap Nabi... perbuatan Nabi... kata-kata Nabi... sebab Allah dah pesan dalam Al-Quran... selagi kita jadikan Al-Quran dan sunnah Nabi sebagai panduan hidup kita... kita tak akan sesat... supaya sampai juga kita ke Syurga nanti." Diaa cuba menerangkan.

“OK… dah… kita berhenti dulu, lain kali kita sambung lagi…” dia menutup topik buat hari itu. Dia menyimpan sepenuh harapan... agar dia dan permata hatinya itu sentiasa ingat-mengingati antara satu sama lain… Bukan apa... kerana bimbang diri yang sering teralpa.

Thursday, January 7, 2010

Berkongsi nilai...


Liu Man San dan isterinya, Doreen menggunakan pengalaman puluhan tahun sebagai pendidik untuk menyebarkan kepentingan sifat-sifat murni dalam diri seorang individu.

ADA sesuatu yang masih segar dalam minda Liu Man San. Lelaki berusia 63 tahun itu masih ingat lagi insiden seorang budak nakal di dalam salah sebuah kelasnya.

"Saya ternampak budak itu sangat senyap di satu sudut. Jadi, saya pun panggilnya ke depan. Tetapi, dengan penuh reaksi, dia berdiri dan menjerit 'APA? APA? Awak nak apa?'"

"Orang lain mungkin anggap dia biadap. Padahal budak itu sebenarnya ada kisahnya sendiri," cerita Man San kepada Kosmo! dalam satu pertemuan di ibu negara baru-baru ini.

Sebenarnya, budak lelaki itu tidak pernah mendapat 'ganjaran' yang baik setiap kali namanya dipanggil guru. Jadi, tidak hairanlah dia sentiasa berpendapat nasib malang akan terus menimpanya.

Sebaliknya, Man San menghadiahkannya seketul batu dari Australia sebagai ganjaran. Ganjaran itu sebagai menghargai kepatuhannya untuk tidak membuat bising.

Cukup terkejut dengan tindakan Man San itu, budak tersebut berkali-kali menundukkan kepalanya sebagai tanda terima kasih.

Insiden itu nyata sangat signifikan bagi golongan pendidik seperti Man San. Sekurang-kurangnya peristiwa itu adalah contoh terbaik yang membuktikan bahawa setiap orang anak sebenarnya memiliki sifat positif.

Berbekalkan ideologi tersebut, Man San dan isterinya, Doreen Liu telah menterjemahkan pengalaman puluhan tahun sebagai pendidik ke dalam sebuah naskhah sulung yang berjudul Footperints in the house (Footprints). Buku setebal 105 muka surat itu diharapkan menjadi satu panduan berguna untuk membantu golongan penjaga menerapkan nilai-nilai murni dalam anak atau pelajar.

Doreen, 63, yang bersara sebagai Guru Kanan Hal-Ehwal Murid, memiliki sekitar 40 tahun pengalaman dalam dunia pendidikan. Ibu kepada seorang anak itu memberitahu, golongan muda menjadi sasaran pembaca buku itu memandangkan karakter mereka lebih mudah dibentuk.


GURU boleh memainkan peranan dalam memupuk anak-anak ke arah yang baik. - Gambar hiasan

"Pengalaman bekerja dengan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) cukup menyedarkan kami. Kami nampak lambakan masalah sosial hari ini banyak yang berpunca daripada soal karakter atau sifat-sifat murni.

"Lagipun, sukar nak membentuk semula karakter atau pemikiran generasi lama. Sebab itulah kami ingin mulakan daripada golongan muda," jelasnya yang berasal dari Pulau Pinang.

Sebagai salah seorang jurulatih utama bagi sebuah projek yang diiktiraf oleh World Vision Malaysia, The Virtues Project, pasangan suami isteri ini ingin mengajak dunia berbuat baik. Bukan dengan hanya berkata-kata tetapi menterjemahkan konsep kebaikan kepada satu tindakan.

Tambahnya, sifat-sifat murni merupakan asas kepada sesuatu karakter seseorang. Demi membangunkan sifat-sifat murni ini, pengetahuan dan pemikiran seseorang tidak harus hanya dilihat dalam konteks sehala.

"Sebaliknya, pelbagai cabang pengetahuan sepatutnya berintegrasi menjadi satu. Sebab itulah, sebagai contoh, kebanyakan kontraktor pembinaan tidak melihat kepada aspek pemuliharaan persekitaran ketika membina bangunan.

"Apa yang lebih dipentingkan oleh mereka ialah struktur atau reka bentuk bangunan," kata Man San yang banyak terlibat dalam aktiviti-aktiviti amal.


SEMUA anak memang mempunyai sifat positif dan potensi untuk berbuat kebaikan.
- Gambar hiasan

Suka menyelitkan strategi-strategi penting dalam membentuk sifat-sifat murni menerusi programnya, dia berkata, segalanya harus bermula dari rumah.

Footprints yang mengadunkan pengetahuan dari segenap lapisan subjek. Sains, moral, sifat-sifat murni dan prinsip universal yang lain mengajak pembaca khasnya anak menghayati kandungan buku itu.

Terbahagi kepada lapan bab yang membawa pembaca kepada bahagian-bahagian rumah berbeza, Doreen berkata: "Sifat-sifat murni sememangnya satu anugerah untuk sesesuatu karakter."


DOREEN dan Man San bersama Linda Kavelin Popov (dua dari kiri) dan pengasas The Virtues Project, Dr. Don Popov.

Ruang tamu disifatkan sebagai destinasi paling menarik dalam sesebuah rumah. Sebabnya, di dalam bilik inilah pelbagai tindakan seseorang boleh mencerminkan keperibadian dan karakternya. Sebagai contoh, kunjungan tetamu atau kenalan ke rumah kita perlu disambut dengan kemesraan dan kemurahan hati.

Bagi memperkukuhkan pemahaman pembaca tentang topik yang disentuh, latihan-latihan mudah juga diselitkan. Malah, pemilihan subjek sains yang betul boleh memperkuatkan lagi ideologi tentang sesuatu sifat murni. Lebih mustahak lagi, ia mengingatkan pembaca dan mengajar anak bahawa manusia seharusnya hidup sebagai satu keluarga tanpa mengira faktor kaum, bangsa dan warna kulit atau rambut.

Memakan masa kurang sebulan untuk ditulis, Footprints tidak mungkin berjaya dicetak tanpa sumbangan murni seorang kenalan lama. Menggelarkan beliau sebagai seorang 'Samaritan' (orang baik) daripada pengeluar tilam terkemuka King Koil Malaysia, Man San berkata, semua orang mampu menyumbang kepada kehidupan yang lebih baik di dunia.

Setakat temu bual ini berlangsung, 2,500 naskhah cetakan awal buku ini telah berjaya dijual.

Golongan muda khasnya mempunyai potensi yang luas. Menggesa masyarakat mengubah persepsi yang menganggap 'orang muda hanya suka bersuka-ria', pasangan ini percaya golongan muda ibarat emas yang belum diasah.

"Mereka sebenarnya boleh capai banyak impian besar jika diberi peluang. Misalnya, ada seorang anak gadis ini. Dia pernah hadiri seminar sifat-sifat murni kami dan selepas tamat pengajian dia memberitahu, dia telah pergi ke Nepal.

"Untuk apa? Dia telah menyertai sebuah NGO sebagai tenaga pengajar di perkampungan terpencil di Nepal. Itulah antara kejayaan yang ditunjukkan apabila anak ada kesedaran dan sifat murni," cerita Man San.


BUKU Footprints mengandungi adunan pengetahuan daripada pelbagai subjek. - Gambar hiasan

Malah, pasangan dari Klang ini sendiri sudah menjadi tauladan terbaik. Doreen yang melibatkan diri dalam kegiatan NGO seawal tahun 1970-an banyak melancong bersama suami untuk tujuan-tujuan amal. Bekerja dengan kedaifan kelas-kelas yang tidak dilengkapi dengan peralatan asas adalah antaranya.

Namun, hanya selepas Forum Wanita Sedunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Beijing, China pada tahun 1995, mereka lebih serius untuk komited dalam kerja-kerja sosial.

"Kami mula mempertingkatkan keupayaan dalam aspek pembangunan wanita dan pendidikan untuk kanak-kanak serta golongan muda.

"Saya dan Man San kerap berkunjung ke luar negara untuk menghadiri kursus khas untuk perkembangan sosial. Hanya selepas itu, barulah kami mula mengadakan bengkel serta seminar tentang nilai sesebuah pendidikan," terang Doreen, ibu kepada seorang anak perempuan itu.


KANAK-KANAK merupakan golongan yang lebih mudah dididik berbanding orang dewasa. - Gambar hiasan

Antara organisasi yang pernah menerima khidmat mereka sebagai jurulatih sukarelawan termasuk HAWA, majlis perbandaran di Kota Kinabalu dan Sandakan, Sabah, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Yayasan Bhineka di Padang, Indonesia dan kem pemulihan serenti dadah.

Bagaimana pula perancangan jangka panjang pasangan ini? Jelas Man San, dua buah buku daripada siri yang sama akan menyusul. Tetapi, mereka berharap ada individu ataupun syarikat korporat yang berminat menaja penghasilan dua buku tersebut demi kesejahteraan dunia sejagat.

Sumber: Kosmo, 8 Jan 2010.

Memaknakan hidup



Wednesday, January 6, 2010

Hamba & Khalifah

Rasa Kehambaan dan Rasa Kekhalifahan

Tugas atau peranan manusia di sisi Tuhan ada dua. Pertama, sebagai hamba Allah, dan kedua, sebagai khalifah Allah di muka bumi.

Allah ada berfirman di dalam Al Quran:
Maksudnya: "Tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk mengabdikan diri kepada-Ku." (Surah Az-Zariat: 56)

Mengabdikan diri di sini bermaksud memperhambakan diri iaitu membuat segala sesuatu hanya kerana Allah SWT. Mengabdikan diri ada dua bentuk.

Pertama sebagai hamba dan kedua sebagai khalifah.

Sebagai hamba, manusia perlu melaksanakan ibadah-ibadah yang berbentuk khususiah (khusus). Sebagai khalifah manusia perlu pula menunaikan ibadah-ibadah yang berbentuk umumiah (umum).

Dalam ertikata yang lain, manusia perlu menegakkan dua fardhu iaitu sebagai hamba, maka dia perlu menegakkan fardhu ain, sementara sebagai khalifah pula dia perlu menegakkan fardhu kifayah. Allah ada juga berfirman:
Maksudnya: "Akan ditimpa kehinaan di mana sahaja kamu berada melainkan kamu menegakkan dua hubungan iaitu hubungan dengan Allah (hablumminallah) dan hubungan sesama manusia (hablumminannas) ." (Surah Ali Imran: 112)

Menegakkan hubungan dengan Allah itu ialah peranan hamba dan menegakkan hubungan sesama manusia itu ialah peranan khalifah.



Boleh juga dikatakan bahawa sebagai hamba, manusia perlu menegakkan tamadun rohaniah dan sebagai khalifah, manusia perlu menegakkan tamadun lahiriah.

Dalam hendak menjadi hamba dan khalifah Allah ini, manusia terbahagi kepada berbagai tahap dan kategori, iaitu:

• Ada manusia yang langsung tidak tahu dan tidak sedar bahawa mereka itu adalah hamba dan khalifah Tuhan. Golongan ini ialah golongan kafir terutama golongan komunis yang menolak terus akan kewujudan Tuhan. Mereka berbuat apa sahaja yang mereka suka di muka bumi ini dan mereka menggantikan tempat Tuhan dengan nafsu mereka sendiri.

Allah berfirman di dalam Al Quran:
Maksudnya: "Tidakkah engkau lihat mereka yang mengangkat nafsu mereka sebagai Tuhan mereka." (Surah Jatsiah: 23)

• Ada golongan manusia yang tahu mereka adalah hamba dan juga khalifah Allah. Akan tetapi mereka hanya setakat tahu dan tidak lebih dari itu. Ilmu mereka tentang itu hanya bersemadi di akal fikiran mereka sahaja. Oleh yang demikian, mereka tidak ada kekuatan dan mereka cuai untuk melaksanakan tugas-tugas dan tanggungjawab mereka sebagai hamba dan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Mereka adalah golongan awamul muslimin atau orang Islam biasa.

• Golongan yang seterusnya ialah manusia yang bukan sahaja setakat tahu tapi sudah mampu merasakan bahawa mereka itu hamba Allah sekaligus khalifah Allah di muka bumi ini. Disebabkan perkara tersebut telah meresap ke hati dan dapat dirasakan, maka golongan ini ada kekuatan dan lebih komited. Namun demikian kekuatan rasa-rasa ini berbeza-beza. Ada golongan yang rasa kehambaan dan kekhalifahan mereka itu biasa atau sederhana sahaja. Dengan itu mereka sedikit sebanyak dapat memperhambakan diri kepada Allah dan dapat pula bertanggungjawab sebagai khalifah Allah sesuai dengan kedudukan dan kemampuan mereka masing-masing. Inilah orang-orang soleh atau golongan Ashabul Yamin (golongan kanan).

• Ada golongan yang rasa kehambaan dan rasa kekhalifahan mereka lebih dalam dan lebih tajam. Justeru itu mereka lebih kuat dan lebih komited. Peranan mereka sebagai hamba dan sebagai khalifah juga lebih besar dan lebih hebat kalau dibandingkan dengan orang-orang soleh. Mereka ini ialah orang-orang Muqarrobin (orang-orang yang hampir dengan Allah).

• Ada pula golongan yang tenggelam dalam rasa kehambaan dan rasa kekhalifahan mereka. Tidak ada lagi kepentingan yang lain bagi orang yang seperti ini melainkan Allah semata- mata. Inilah golongan As-Siddiqin (yang benar).

• Dalam pada itu ada pula golongan manusia yang rasa kehambaan dan rasa kekhalifahan mereka tidak seimbang. Ada yang rasa kehambaan mereka lebih menonjol. Dengan demikian mereka banyak terdorong untuk beribadah, berwirid, berzikir, bertasbih, membaca Al Quran dan sebagainya. Peranan mereka sebagai khalifah kurang. Mereka ini ahli-ahli ibadah atau golongan abid.

• Ada pula manusia yang rasa kekhalifahan mereka pula lebih menonjol. Mereka ini banyak terdorong untuk membuat kerja-kerja kemasyarakatan dan kepimpinan selaras dengan syariat Tuhan. Ibadah mereka sederhana sahaja. Mereka ini golongan pemimpin yang baik.

Marilah kita sama-sama memupuk dan menajamkan rasa kehambaan dan rasa kekhalifahan ini kerana rasa-rasa inilah yang menjadi kekuatan bagi kita untuk melaksanakan peranan kita sebagai hamba dan sekaligus sebagai khalifah Allah. Setakat mana rasa-rasa ini dapat ditajamkan, maka setakat itulah dapat kita berperanan. Di dalam konteks yang sama, setakat mana kita dapat berperanan sebagai hamba dan sebagai khalifah, ia menjadi kayu ukur setakat mana sebenarnya tahap rasa kehambaan dan rasa kekhalifahan yang ada di dalam hati kita.

Sumber: Cikgu*Net

Tuesday, January 5, 2010

Resolusi 1431H

Dah beberapa hari berlalu tahun baru 1431H... tapi rasanya tiada istilah 'terlambat' untuk berubah ke arah kebaikan, ye dak? Ehmmm... asalkan selagi belum sampai ajal... tapi ajal tak tahu bila, jalan terbaik sentiasa bersedia membawa seberapa banyak amalan yang baik untuk bekalan.

Apa-apapun... selamat berjaya ya diri sendiri! :)

Monday, January 4, 2010

Pengisian hidup yang berfaedah

MEMBANTU mereka yang memerlukan tanpa mengharapkan balasan adalah sesuatu yang mulia bukan sahaja di sisi agama tetapi juga masyarakat.

Namun, berapa ramaikah yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga untuk tugas sukarela seperti ini.

Bagi Harlina Zainudin, 37, dia sudah bergiat aktif dalam bidang sukarelawan sejak menetap di Amerika Syarikat (AS) lagi. Dia merantau ke negara Uncle Sam selama lima tahun bermula 1996 untuk untuk mencuba nasib di tempat orang.

"Di sana, saya berkawan dengan semua orang. Bermula dengan satu pertolongan kepada seorang rakan, saya dikenali sebagai sukarelawan yang membantu mereka dalam kesusahan.

"Saya turut memberi bantuan kepada orang Malaysia yang dihalau oleh tuan rumah. Mereka tinggal dengan saya sehingga mendapat rumah baru," katanya.

Kini ibu beranak satu ini menyertai Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor (Pantas). Pantas adalah sebuah organisasi di bawah kerajaan negeri yang menyalurkan bantuan kepada mangsa bencana alam dan sebagainya.

Walaupun baru menyertai Pantas, Harlina berkata, dia kini lebih dekat dengan aktiviti digemarinya sejak dulu iaitu mendampingi mereka yang memerlukan.

Harlina merupakan sukarelawan sepenuh masa. Biarpun baru setahun dengan pertubuhan itu, dia sudah mempunyai dua pengalaman membantu mangsa bencana iaitu tanah runtuh Bukit Antarabangsa, Ampang dan juga gempa bumi di Padang, Indonesia.

Kata Harlina, misi bantuan yang disertai benar-benar mengajarnya erti kehidupan dan juga kebesaran Tuhan.

"Kami berada di sana (Padang) sejak hari pertama. Saya membantu mangsa-mangsa memunggah barangan dari rumah mereka ke kawasan yang lebih selamat.

"Bila tengok kesusahan orang lain, secara tidak langsung kita dapat merasai bebanan yang mereka tanggung. Ketika itu tidak terfikir langsung mengenai darjat dan pangkat. Apa yang perlu ialah cuba memberi mereka bantuan dan keselesaan," katanya.

Kesempatan menemui mangsa gempa bumi memberi kesedaran kepada Harlina betapa beruntungnya tinggal di Malaysia

Bersyukur

Selain dapat melakukan aktiviti kemanusiaan, penglibatannya dalam sukarelawan juga memberinya peluang melihat negara orang.

Ketika berada di Padang, Indonesia, Harlina memberitahu, dia berasa begitu insaf dan bersyukur kerana berada di Malaysia yang bebas daripada sebarang bencana dan pergolakan.

Dia bersama ahli Pantas yang lain pergi ke Kampung Tangah, Pariaman yang merupakan salah sebuah kampung yang terjejas teruk ekoran benca gempa bumi yang berlaku pada 30 September lalu.

Gempa menggongcang Padang pada 5.16 petang berpusat di kilometer 57, barat laut Pariaman, disusuli gempa bumi kedua 6.2 skala Richter pada 5.38 petang berpusat di kilometer 22 ke barat laut Pariaman.

Di sana mereka mendirikan khemah sementara kepada keluarga yang hilang tempat tinggal dan juga menggali 'sumur bor' iaitu telaga pam air untuk sumber air bersih.

Walaupun terdapat 'persengketaan' yang sebelum ini diuar-uarkan oleh sesetengah media, Haslina memberitahu, dia tidak melihat keadaan seperti itu sepanjang berada di sana.

Kedatangan sukarelawan dari Malaysia disambut dengan penuh mesra dan ada juga yang menitis air mata ketika menerima bantuan.

Harlina mengajak belia di luar sana agar menceburi bidang sukarelawan. Daripada melakukan aktiviti tidak berfaedah, boleh beramal dengan bantuan yang diberikan.

Kepada mereka yang berminat boleh menghubungi Harlina di talian 0193890858 atau Yoges di 0122010502.

Sumber: Kosmo, 5 Jan 2010.