"Kakak, Angah, Acik... mari sini kejap. Mama nak cakap sikit", dia memanggil ketiga-tiga anaknya. Kelakar pula rasanya dia melihat riak wajah mereka yang kelihatan sedikit resah ketika itu. Ehmm... dia rasa dia tahu kenapa… Kerana kebiasaannya kalau dah dipanggil kesemuanya begitu, tentunya ada sesuatu yang tidak kena di mata atau di telinga atau di hatinya. Walau adakalanya tidak semua antara mereka yang berbuat salah, biar semua sekali mendengar teguran agar yang lain takkan melakukan kesalahan yang sama... Bukan setakat di tempat kerja sahaja perlu ‘work smart’ malah di rumah juga perlu… tapi dengan istilah yang sedikit berbeza ‘didik smart’. Cakap sekali saja… tapi mesej sampai pada kesemuanya serentak.
“Mama panggil ni bukan sebab nak marah-marah... cuma mama nak ajak bersembang je...”, terang dia. Wah… lega bukan main nampaknya mereka.
“Kakak... katakanlah kakak nak masak kek (sebab kek memang kegemaran kakak) macam mana kakak nak pastikan kek yang kakak masak nanti tu akan jadi elok dan sedap? Berkerut-kerut muka kakak cuba mencari jawapan...
"OK... biasanya kakak akan rujuk di mana?" Dia cuba mempermudahkan.
"O... kakak tau! Kakak tengok buku resepi mama la..." Ohhh... dia memang banyak beli buku resepi cuma hasil masakannya sahaja tak muncul-muncul juga… “Aaa... lagi satu... kakak tanya orang la mama". Hmm... bagus.
"OK... Angah dan Acik pula... mula-mula Abah nak pasang PS2 dulu, ingat tak apa Abah buat dulu?" Tanya dia. "Angah tau... Angah tau... Abah baca buku panduan macam mana nak pasang PS2!" Hmm... bagus. Nampaknya dapat juga mereka menjawab ye...
"OK... kakak, kenapa kita kena rujuk pada buku resepi untuk masak? Angah dan Acik... kenapa kita kena baca buku panduan untuk pasang PS2?", tanya dia lagi.
"Sebab kita tak nak salah la ma... nanti kek yang kakak nak masak tak jadi pula", jawab si kakak. "Sebab nanti Angah dan Acik tak dapatlah main PS2 kalau salah pasang", jawab Angah pula... si Acik memang tak rajin sangat nak menjawab... tak berapa faham lagi agaknya... 6 tahun.
"OK, sekarang mama nak tanya soalan lain pula tapi ada kaitan dengan soalan tadi. Manusia lambat-laun akan meninggal dunia tak?"
"Haa... aaa... mama, macam pakcik adik mama tu kan?" balas kakak. Sedih rasanya apabila si kakak mengingatkan dia pada adik tersayang yang dah pergi terlebih dulu.
“Ya... bila sampai saja masanya... Allah akan jemput kita semua yang diciptaNya pulang pada Allah... macam arwah pakcik. Kita tak tahu bila. Boleh jadi kejap lagi..." Jawab dia mengiyakan. "Hah... kejap lagi?!" Angah sedikit terkejut. "Iyalah... boleh jadi kan... sebab tu kita kena buat baik sepanjang masa... Kalau mama 'pergi' kejap lagipun kurang-kurangnya mama baru buat satu perkara yang baik. Ingatkan anak mama supaya tak lupa Allah..." dia menyambung.
"Hmmm... kemudian apa akan jadi pada kita selepas tu?”, tanya dia lagi.
"Ustazah kata kita semua akan dibangkitkan di Padang Mahsyar, tapi tak tahu la bila... lepas tu kan ma siapa yang banyak pahala akan ke Syurga, siapa yang banyak dosa akan ke neraka", jawab si kakak lagi. Ohhh... Alhamdulillah... hasil didikan sekolah agama. Terima kasih buat guru-guru yang sama-sama membimbing.
"Kalau macam tu.... anak-anak mama pilih nak ke mana? Syurga atau Neraka...?", tanya dia lagi.
"Ishhh... nak pergi Syurga la mama... Ustazah kata di Neraka tu panas... Takut...!!!" sambung Angah bersungguh-sungguh.
“Macam mana agaknya kita nak ke Syurga tu…?, tanya dia lagi ingin menguji mereka. Masing-masing kelihatan tercari-cari jawapan. Dia cuba permudahkan kekusutan mereka.
“OK, ini kaitannya dengan soalan mama awal-awal tadi… Kalau kita nak masak kek kita akan rujuk buku resepi sebagai panduan dan kalau kita nak main PS2 kita kena rujuk buku panduan untuk cara memasangnya… Kalau nak ke Syurga juga kita dah ada panduannya… Cuba teka apa panduannya?”, tanya dia lagi.
“Al-Quran kan mama?”, Angah cuba meneka dengan Acik mengangguk-angguk. Sama bersetuju agaknya. “Betul tu… itulah sebaik-baik panduan hidup kita untuk menuju ke Syurga. Ayat-ayat Al-Quran itu datangnya dari Allah yang mencipta kita dan seluruh isi alam yang lain termasuk juga Syurga dan Neraka. Sebagaimana kita percayakan panduan membuat kek dari orang yang mencipta resepi kek tu dan kita juga percayakan panduan dari mereka yang mencipta PS2 sepatutnya juga kita yakin dan percaya pada panduan dari Allah yang mencipta diri kita ni…”, terang dia lagi panjang lebar.
“Faham ke apa yang mama cakapkan ni?”, tanya dia sekadar inginkan kepastian. Faham ma…”, jawab mereka. "OK selain Al-Quran, kita juga boleh rujuk pada hadis dan sunnah Nabi. Kita boleh contohi sikap Nabi... perbuatan Nabi... kata-kata Nabi... sebab Allah dah pesan dalam Al-Quran... selagi kita jadikan Al-Quran dan sunnah Nabi sebagai panduan hidup kita... kita tak akan sesat... supaya sampai juga kita ke Syurga nanti." Diaa cuba menerangkan.
“OK… dah… kita berhenti dulu, lain kali kita sambung lagi…” dia menutup topik buat hari itu. Dia menyimpan sepenuh harapan... agar dia dan permata hatinya itu sentiasa ingat-mengingati antara satu sama lain… Bukan apa... kerana bimbang diri yang sering teralpa.
No comments:
Post a Comment